Ahmad Razif selar tindakan memuat naik kenyataan berbaur fitnah di Facebook - Utusan Malaysia

Ahmad Razif selar tindakan memuat naik kenyataan berbaur fitnah di Facebook

AHMAD RAZIF ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik kenyataan beliau yang berbaur fitnah di Facebook, semalam.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, dalam kenyataan yang dimuat baik itu, beliau kononnya menyokong bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya dengan ini menegaskan bahawa akaun Facebook tersebut adalah palsu dan kenyataan yang dimuatkan naik juga tiada mengena dengan saya. Malah suntingan dengan meletakkan nama akaun ‘page Facebook’ saya juga agak keterlaluan.

“Saya percaya bahawa propaganda murahan seperti ini dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai niat jahat dan mulai takut dengan kesedaran rakyat untuk kembali kepada Barisan Nasional pada PRN tidak lama lagi.

“Taktik politik murahan sebagaimana yang disebarkan melalui akaun Facebook palsu tersebut adalah memalukan di saat demokrasi harus disegarkan dengan politik matang dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar akhlak politik jijik ini mesti segera dihentikan dan  tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atau melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara tersebut.

“Saya berharap, rakyat dan netizen agar lebih berhati-hati dengan propaganda seperti ini dengan mendapatkan maklumat sebenar sebelum memberikan reaksi atau menyalin akaun palsu tersebut untuk disebarkan.

“Marilah kita menjauhkan diri daripada politik fitnah, murahan dan berniat jahat seperti itu kerana ia itu bukanlah amalan yang selari dengan demokrasi sebenarnya,” katanya.

Pada Januari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mohd. Khairuddin telah menyertai Majlis Ulama UMNO untuk memperkasakan lagi perpaduan ummah di negara ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Mohd. Khairuddin yang bertanding atas tiket  Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Nerus tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Alias Razak.

Alias mendapat 56,697 undi memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 29,765 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya