ALOR SETAR: Jenazah legenda sepak takraw tanah air, Adnan Saidin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Haji Sham, Kampung Padang di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini pada pukul 2.25 petang ini.
Allahyarham yang merupakan bapa kepada enam anak disemadikan di sebelah pusara abangnya, Ismail Saidin yang meninggal dunia pada November tahun lalu.
Terdahulu jenazahnya disembahyangkan oleh jemaah di Surau Al-Rahmaniah yang terletak berhampiran tanah perkuburan tersebut.
Sementara itu, gandingan Adnan ketika sama-sama beraksi dalam regu kebangsaan, Mohd. Zahir Awang, 60, menyifatkan kehilangan rakannya itu sebagai satu kehilangan besar buat negara.
“Kami sama-sama menyarung jersi negara dalam sukan SEA dari 1983 hingga 1989. Banyak kenangan manis kami bersama pada masa itu terutamanya ketika kami bermain secara ‘double killer’ iaitu beliau sebagai apit kiri manakala saya pula apit kanan.
“Waktu itu boleh dikatakan sebagai zaman gemilang sepak takraw negara dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat semua. Boleh dikatakan, Adnan sebagai seorang pemain yang memiliki motivasi dan berkebolehan tinggi selain memiliki libasan luar biasa,” katanya.
Adnan yang bergelar Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia 1986, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Menurut anaknya, Mohd. Faizal Adnan, 38, kematian Allahyarham dipercayai berpunca akibat berlaku pendarahan dalam kepala setelah terdapat beberapa komplikasi melibatkan organ dalamannya.
Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain negara, Che Azman Ismail, 62, yang pernah bertindak sebagai tekong kepada Mohd. Zahir dan Adnan mahu para pemain kebangsaan mencontohi sikap serta kesungguhan Adnan semasa beraksi mewakili negara.
“Apabila Adnan turun beraksi, beliau tak mudah mengaku kalah dan akan main betul-betul. Adnan sentiasa berusaha dan belajar dari kesilapan dalam perlawanan dilalui bagi meningkatkan prestasinya,” katanya. –UTUSAN