CIK Bunga sebenarnya memang kagum dengan kebolehan para netizen ini. Terutamanya mereka yang memang ikut rapat artis atau selebriti yang mereka benar-benar puja.
Lagi-lagi pula, sekarang ini yang sedang hot dan in adalah jejaka-jejaka tampan yang membintangi drama bersiri popular, Projek High Council. Contohnya, macam pelakon tinggi lampai, Nadhir Nasar.
Nak dijadikan cerita, Cik Bunga ralit tengok TikTok kelmarin. Tup-tup, ternampak ada satu akaun ini (Cik Bunga rasa peminat Nadhir juga) berkongsi mengenai beberapa ‘hint’ tentang kemungkinan Nadhir kini sedang bercinta dengan anggota kumpulan Dolla, Angel.
Wah! Terus Cik Bunga pun tumpang rasa berbunga-bunga juga di hati. Mengikut apa yang dikongsikan oleh peminat tersebut, hasil ‘siasatan’ bak Detektif Conan, Nadhir dan Angel didakwa saling meninggalkan komen berbaur cinta di media sosial masing-masing.
Kalau diperhatikan, Nadhir kerap menggunakan emoji awan hujan di media sosial jika ia berkaitan dengan Angel. Baik di ruangan komen atau statusnya. Sekali gus membuatkan peminat mula sedar, eh, kedua-duanya ini bagaikan sedang bercinta.
Kalau tak silap Cik Bunga, sebelum ini pun pernah ada desas-desus mengenai Nadhir dikatakan sedang mengenali seseorang yang istimewa dan wanita itu berbangsa Cina.
Angel pula bagaikan menepati ramalan ramai, maka, Cik Bunga pun tumpang setujulah bahawa kemungkinan Nadhir kini merupakan kekasih si cantik persis Jennie kumpulan Blackpink itu.
Jika benar kedua-duanya sedang bercinta, mengapa tidak boleh pula bukan? Manis juga kedua-duanya jika bersama.
Tetapi Cik Bunga harap, janganlah pula peminat yang pandai-pandai tidak mahu merestuilah, membantahlah… ini kan soal hati. Kalau dah suka, dah sayang, biarkanlah mereka.
Kita doa yang baik-baik. Mana tahu destinasi penghujung hubungan itu adalah ke jenjang pelamin? Ahai…Cik Bunga pula yang tersipu-sipu.