Ada 3 lagi warga Malaysia terkandas dalam perjalanan keluar dari Sudan

Ada 3 lagi warga Malaysia terkandas dalam perjalanan keluar dari Sudan

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai tiga orang lagi rakyat Malaysia yang tidak pernah mendaftarkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dilaporkan masih terkandas di Sudan.

Perkara itu disahkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menerusi kenyataan hari ini namun menjelaskan bahawa usaha giat dilakukan bagi membawa mereka keluar.

Pihak Wisma Putra ujar beliau, hanya menerima maklumat mengenai mereka itu pada 30 April lalu menerusi aplikasi sosial Facebook Messenger Kedutaan Malaysia di Khartoum.

“Ia melibatkan seorang ibu dengan dua anaknya serta suami warga Sudan yang tinggal di wilayah Al Gaza namun terperangkap ketika cuba keluar dari negara tersebut,” jelasnya.

Walau bagaimanapun tambah beliau, usaha pemindahan anggota keluarga berkenaan untuk keluar dari Sudan sedang diusahakan oleh Pasukan Khas Ops Sudan Wisma Putra.

Malahan kata Zambry, pada ketika ini ketiga-tiga rakyat Malaysia serta lelaki warganegara Sudan itu sedang dalam perjalanan menuju ke Port Sudan dan dijangka tiba pada hari ini.

Kerajaan melalui Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Besar Malaysia ke Sudan turut memohon bantuan kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan.

Langkah tersebut katanya, supaya membolehkan empat beranak itu dapat menaiki kapal untuk membawa mereka keluar dari Port Sudan menuju ke Jeddah dalam masa terdekat.

“Insya-Allah, marilah kita bersama-sama mendoakan agar usaha semua pihak terlibat ini dipermudahkan dan mereka akhirnya akan selamat tiba di tanah air nanti,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Zambry mengesahkan ada dua rakyat Malaysia berkhidmat dengan misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan pada ketika ini.

Mereka ialah Mejar Zazalina Ghazali dan Leftenan Komander Naadifarin Che Kamaruddin yang dilaporkan berada dalam keadaan selamat di wilayah Abyei yang tidak terjejas teruk.

Namun ujar beliau, sekiranya keadaan memerlukan keluar, proses membawa kedua-dua mereka itu berpindah dari negara berkenaan akan diuruskan sendiri oleh pihak PBB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya