KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu merekodkan 794 kes kebakaran terbuka di seluruh negeri sejak Januari sehingga 26 April lalu.
Menurut Pengarah JBPM negeri, Hassan As’ari Omar, faktor cuaca panas melampau menjadi antara punca kes bulan April paling banyak dikesan iaitu 489 kes.
Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 12 kes kebakaran terbuka pada Januari, Februari (39) dan Mac (254).
“Dalam tempoh empat bulan itu juga, kes paling banyak adalah di daerah Kuala Nerus iaitu 151 kes, Dungun (122), Marang (114) dan Kuala Terengganu (109).
“Sementara itu, di Besut pula 98 kes dilaporkan, Setiu (93), Kemaman (92) dan Hulu Terengganu (15),” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, hampir semua lokasi kebakaran tersebut melibatkan kawasan mudah terbakar disebabkan cuaca kering seperti hutan gambut, kebun, belukar serta kawasan lalang.
Hassan As’ari menjelaskan, kes kebakaran meningkat bermula Mac susulan cuaca panas selain faktor manusia yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa pemantauan.
“Kes pembakaran terbuka sangat tinggi sepanjang Mac dan April kerana keadaan cuaca panas namun keadaan semakin berkurangan bermula 26 April apabila negeri ini mula menerima taburan hujan.
“Namun meskipun keadaan cuaca sudah lembap dan tidak panas berikutan hujan, JBPM sentiasa memantau kawasan titik panas yang berpotensi berlakunya kebakaran.
“Orang ramai terutama pekebun dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu dan api merebak,” ujarnya. – UTUSAN