TASEK GELUGOR: “Daddy mana? Bila ‘daddy’ nak balik?”
Soalan itu kini sering diulang-ulang anak-anak pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu sembilan hari lalu.
Isterinya, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, berkata, Hana Sakeena Muhammad Hawari, 4, dan Haris Sufian, 2, sering bertanyakan soalan itu setiap malam sebelum tidur.
Tiga beranak yang juga OKU pendengaran itu masih terus berharap supaya Muhammad Hawari dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.
“Anak sulung kami amat rindukan ‘daddy’ dan selalu tanya bila ‘daddy’ akan pulang.
“Hana juga seorang anak yang kreatif dan ada lukis gambar ‘tersirat’ di mana kami sekeluarga berada di kawasan berbukit.
“Dia tahu ‘daddy’ ada di situ dan sekurang-kurangnya gambar itu memberi harapan buat kami sekeluarga yang Muhammad Hawari akan kembali dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar, Tasek Gelugor di sini hari ini.
Menerusi terjemahan bahasa isyarat anak saudaranya, Muhammad Danish Danial Muhammad Hafizul,17, Safiyyah berkata, emosinya terganggu sejak menerima perkhabaran berhubung kehilangan suaminya itu.
“Kali terakhir dia hubungi saya pada 15 Mei lalu dan memaklumkan akan memulakan pendakian.
“Memang terkejut sebab hari Khamis suami berjaya sampai ke puncak, namun hilang keesokan harinya.
“Dia sudah berjanji untuk pulang dan meminta kami bersedia untuk menyambutnya di KLIA dan saya memohon doa semua supaya suami balik dengan selamat,” katanya.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meluangkan masa bertanya khabar di samping mendapatkan maklumat terkini berhubung Muhammad Hawari.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan agensi berkaitan untuk memberi perkhidmatan kaunseling kepada keluarga terbabit.
“Kita faham situasi ini amat traumatik dan mengejutkan ahli keluarga Muhammad Hawari dan sokongan emosi penting untuk pastikan mereka kekal positif.
“Syukurlah keluarga ini juga kuat dengan sokongan jiran yang banyak membantu memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia (UM) melaporkan misi mencari dan menyelamat Muhammad Hawari ditangguhkan buat seketika berikutan keadaan cuaca buruk.
Presiden Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia, Azim Afif Ishak berkata, buat masa ini, misi SAR masih lagi dikekalkan sehingga hari terakhir musim pendakian Isnin ini.
Katanya, misi pencarian seterusnya akan diputuskan kemudian selepas kelab membuat permohonan permit khas mendaki dengan pihak berkuasa mendaki Nepal.
Terdahulu, kelab itu memaklumkan misi SAR Muhammad Hawari mungkin dilanjutkan selepas Isnin jika permohonan permit khas diluluskan pihak berkuasa Nepal. – UTUSAN