602 jemaah umrah terjejas tuntut RM6.2 juta

602 jemaah umrah terjejas tuntut RM6.2 juta

SEBAHAGIAN individu menerusi jawatankuasa bertindak mangsa umrah di hadapan ibu pejabat agensi umrah, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah agensi pengendali umrah diberi masa sehingga awal Jun ini bagi menyelesaikan tuntutan lebih RM6.2 juta oleh 602 individu susulan gagal membawa jemaah umrah ke Tanah Suci.

Tuntutan itu dikemukakan sebuah jawatankuasa bertindak mangsa umrah ketika ditemui media selepas mengadakan sidang akhbar di hadapan ibu pejabat agensi itu di sini, pagi ini.

Ketuanya, Rusman Abu Samah berkata, jika tuntutan itu tidak dipenuhi, maka pihaknya tidak teragak-agak untuk memfailkan kes di Mahkamah Tinggi bagi proses tuntutan selanjutnya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mendapatkan khidmat peguam bagi proses itu dan kes akan difailkan pada 2 Jun ini jika tiada apa-apa tindakan dibuat syarikat itu.

“Saya juga akan bertemu dengan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan di Parlimen petang ini bagi menyatakan pendirian jawatankuasa berhubung isu itu,” katanya.

Katanya, setakat ini, pihaknya tidak mendapat apa-apa respon daripada pihak syarikat berhubung tuntutan terbaharu itu.

Rusman berkata, pihaknya mengumpulkan invois dan resit serta bukit pembayaran bank oleh jemaah mangsa umrah yang terkesan.

Menurutnya, berdasarkan data diterima setakat hari ini, terdapat 157 ketua keluarga membabitkan keseluruhan 602 orang terjejas membabitkan tuntutan melebihi RM 6.2 juta.

“Kesemuanya merangkumi tarikh perjalanan umrah sejak Disember 2020 sehingga 19 Mei 2023. Kebanyakan tuntutan membabitkan pakej umrah Ramadan lalu melibatkan 264 jemaah dengan nilai tuntutan RM3.5 juta,” katanya.

Katanya, beberapa laporan polis dibuat di seluruh negara oleh beberapa mangsa, malah pihaknya juga sedang menunggu tindakan susulan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Jelasnya lagi, ada sebahagian mangsa turut membuat laporan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Tribunal Tuntutan Pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya