5 warga asing ditahan, sindiket bomoh antarabangsa tumpas - Utusan Malaysia

5 warga asing ditahan, sindiket bomoh antarabangsa tumpas

FISOL Salleh (dua dari kiri) dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang hari ini mengenai kejayaan polis menumpaskan aktiviti penipuan bomoh di sekitar negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Satu sindiket penipuan bomoh antarabangsa berjaya ditumpaskan menerusi penahanan lima suspek warga asing masing-masing empat wanita dan seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

Kesemua suspek berusia 40 hingga 50 tahun dipercayai warga China itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang semasa cuba melarikan diri ke negara berkenaan.

Suspek berkenaan memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial dan mengikut rekod mereka pernah berada di Johor Bharu pada Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua ahli sindiket itu bergerak aktif sejak Januari lalu menjalankan aktiviti memperdaya mangsa yang merupakan warga emas dalam urusan penjualan ubat penyakit kronik dan sembahyang untuk menghalau hantu yang kononnya berada di rumah mangsa.

”Kita menerima lima laporan daripada mangsa yang merupakan wanita warga emas berusia lingkungan 60-an.

”Sindiket ini akan bergerak awal pagi ke pasar antaranya di Jelutong, Chowrasta dan Bukit Mertajam untuk mencari mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, ahli sindiket berkenaan akan menghampiri mangsa dan menawarkan ubat merawat penyakit kronik dan memberikan nombor telefon untuk urusan rawatan tersebut.

”Malah, mereka turut menyatakan di rumah mangsa ada hantu dan menawarkan untuk menghalau hantu di rumah mangsa.

”Mangsa telah diyakinkan oleh ahli sindiket untuk menyerahkan wang dan barang kemas yang berada di dalam rumah di dalam bungkusan sebagai syarat untuk menjalankan upacara menghalau hantu, dan wang serta barang kemas ini akan diserahkan kembali setelah upacara selesai,” katanya.

Tambahnya, penyerahan bungkusan kepada ahli sindiket tersebut dilakukan di lokasi seperti di kawasan berhampiran pasar dan mangsa akan diberikan bungkusan lain oleh ahli sindiket itu.

”Mangsa diberitahu mereka tidak boleh membuka bungkusan yang diberikan oleh sindiket kecuali selepas sampai ke rumah, malah ada mangsa diberitahu jangan membuka bungkusan sehingga seminggu atau sebulan.

”Apabila mangsa membuka bungkusan yang diberikan oleh sindiket, mereka mendapati bungkusan tersebut hanya mengandungi batu-bata dan air mineral,” katanya.

Fisol berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman sehingga esok.

Jelasnya, kerugian yang dialami kesemua mangsa kira-kira RM124,400 dan polis turut merampas sembilan buah telefon bimbit, lima beg bagasi serta pelbagai jenis barang kemas.

”Kita juga merampas 11 utas jam tangan pelbagai jenama, 943 keping wang tunai matawang China Yuan Renminbi berjumlah RM60,853,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya