LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganggarkan kira-kira 300,000 orang pelancong bakal memeriahkan pulau pelancongan itu pada bulan ini sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, kerja-kerja penyelenggaraan Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang menjadi lokasi utama telah bersedia sepenuhnya pada 13 April lalu.
“Projek naik taraf Dewan LIMA menelan belanja sebanyak RM45 juta. Antara skop kerja naik taraf dewan itu melibatkan penukaran sistem penyaman udara, penukaran sistem elektrik, beberapa kerja infrastruktur seperti naik taraf kawasan parkir di sekeliling dewan,” katanya ditemui pada Majlis Aidilfitri Langkawi Best Wey! di Kompleks LADA, di sini, semalam.
Wan Kamarul yang juga Pengerusi Sekretariat Infrastruktur dan Kebersihan LIMA ‘23 memaklumkan, kerjasama dengan agensi seperti Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP); Pejabat Daerah Langkawi; SWCorp dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bertanggungjawan menjaga kebersihan di Langkawi.
Menurutnya, antara usaha yang dilakukan adalah meningkatkan kadar kutipan sampah dan melantik petugas-petugas khas untuk membersihkan kawasan tumpuan di sekitar pulau berkenaan.
Bagaimanapun, pihaknya masih mengharapkan masyarakat tempatan untuk menjaga kebersihan supaya nama baik Langkawi dan Malaysia dapat diterjemahkan kepada pelancong dan pempamer luar negara yang hadir sempena pameran tersebut.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan di media sosial mengenai kerja-kerja naik taraf dilakukan pada saat akhir bagi persediaan LIMA ‘23.
Jelasnya, hanya kerja-kerja kemasan akhir dan kerja penyelenggaraan kecil akan disiapkan sebelum LIMA ’23 dirasmikan pada 23 Mei nanti.
“Kita bukan buat kerja di saat akhir, kerana setiap kerja telah disusun mengikut jadual yang ditetapkan, jadi apabila pelawat tiba di Langkawi mereka dapat melihat keadaan yang terbaik,” ujarnya. –UTUSAN