KUALA NERUS: Sebanyak 21 majikan didakwa di mahkamah sejak Januari sehingga April lalu kerana tidak mendaftar perniagaan dan mencarum pekerja masing-masing.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, kesalahan tersebut melanggar Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Insurans Pekerjaan 2017.
Menurutnya, dalam tempoh sama, 27 majikan dikompaun kerana lewat melaporkan kemalangan.
Kata beliau, pihaknya mendapati sebahagian besar majikan yang degil dan gagal mencarum pekerja terdiri daripada majikan dalam perusahaan restoran serta kedai makan.
Katanya, terdapat majikan yang tidak mengambil berat dengan kebajikan pekerja sama ada pekerja tempatan dan pekerja warga asing.
“Tahun lalu, 32 majikan disabitkan dengan kes pendakwaan mengikut Seksyen 94 Akta Keselamatan Pekerja 1968 manakala 77 lagi dikenakan notis kompaun.
“Kesalahan gagal mencarum atau mendaftar boleh menyebabkan majikan didenda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya,” katanya selepas menyerahkan faedah pengurusan jenazah kepada balu seorang mangsa kemalangan, Nur Farahah Shahdan di Kampung Pengkalan Batu di sini semalam.
Dalam kemalangan itu, suami Nur Farahah, Mohd. Husaini Amir, 29, dan adiknya, Muhammad Amirul Syafiq, 25, maut selepas melanggar belakang sebuah lori di KM257.4 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Senawang, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Tambah Farihah, Perkeso kini giat menjalankan Op Pemutihan bermula Mei sehingga 30 Jun bagi mengajak majikan tampil mendaftar dan mencarum secara sukarela. – UTUSAN