PERMATANG PAUH: Kira-kira 20,000 orang ramai dianggarkan sudah membanjiri Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini setakat pukul 12 tengah hari ini yang menjadi lokasi program Rumah Terbuka Aidilfitri Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rata-rata mereka yang mula hadir seawal pukul 9 pagi tidak mahu melepaskan peluang untuk bersua muka dengan pemimpin nombor satu negara itu serta beberapa pemimpin lain selain menjamu selera dengan pelbagai juadah menarik yang disediakan.
Bagi Abdullah Murad, 50, dia mendapat tahu mengenai rumah terbuka itu melalui laman sosial Facebook dan tidak melepaskan peluang untuk datang bersama keluarganya walaupun tinggal agak jauh dari lokasi iaitu di Balik Pulau.
“Anak-anak saya selalu bercakap mahu beraya bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) kalau boleh.
“Jadi, saya cuba tunaikan impian mereka walaupun belum tentu mereka dapat beraya, bergambar atau bersalam dengan Perdana Menteri,” katanya.
Turut tidak melepaskan peluang hadir ke rumah terbuka Aidilfitri itu dengan harapan dapat bersua muka dengan Perdana Menteri ialah ialah surirumah, K. Gokina, 40-an, yang hadir bersama-sama tiga anaknya.
“Kami tinggal berdekatan sahaja, jadi rugi jika tidak melepaskan peluang hadir bertemu pemimpin utama negara selain meraikan Aidilfitri dan menjamu selera dengan pelbagai juadah yang istimewa,” katanya.
Selain menyediakan pelbagai juadah enak untuk tetamu yang hadir, penganjur turut menyediakan beberapa gerai pameran serta khemah khas untuk berteduh bagi kemudahan pengunjung.
Dalam pada itu, polis semalam menganggarkan majlis rumah terbuka Aidilfitri Madani bersama Perdana Menteri hari ini yang berlangsung sehingga pukul 2 petang akan dihadiri lebih 18,000 orang. – UTUSAN