SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan mengemukakan 2,000 permohonan jururawat lantikan kontrak untuk diserap ke jawatan tetap tahun ini selain keperluan untuk menambah bilangan sedia ada yang mencecah 165,000 orang ketika ini.
Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, kesemua permohonan melibatkan jururawat di seluruh negara itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi kelulusan lanjut.
“Keadaan itu mengambil kira faktor pembinaan banyak fasiliti kesihatan baharu termasuk di kawasan pedalaman. Justeru, kita memohon kepada JPA mengenai tambahan jururawat kontrak untuk diserap ke jawatan tetap,” katanya selepas merasmikan Hari Jururawat Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam di sini semalam.
Program itu disertai lebih 2,000 jururawat dari seluruh negara September tahun lalu, media melaporkan seramai 1,136 Jururawat Gred U29 Kontrak dari Institut Latihan KKM dan 2,804 jururawat swasta yang dilantik secara kontrak bagi menyokong perkhidmatan kesihatan terutama ketika pandemik Covid-19 akan diserap ke jawatan tetap.
Pelantikan tetap bagi menambah baik jaminan kerjaya kakitangan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh suku keempat tahun lalu dan suku pertama tahun ini.
Jelas Lukanisman, permohonan perjawatan tetap itu bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada keputusan dan jawapan JPA.
“Pengambilan jururawat kontrak telah KKM pertimbangkan untuk diserap secara berfasa sekiranya rayuan penambahan itu diluluskan.
“Kita sememangnya sedang melakukan proses pemetaan bagi mengoptimumkan khidmat kakitangan sama ada doktor, jururawat dan pegawai perubatan,” jelasnya. – UTUSAN