KLANG: Sehingga akhir bulan lalu, seramai 16,865 pencari kerja di seluru
h negara termasuk termasuk kira-kira 1,700 individu di negeri ini berjaya mendapat tempat dalam pelbagai jawatan dan sektor pekerjaan melalui perkhidmatan MyFutureJobs.
Malah, sepanjang tahun lalu, seramai 294,044 individu berjaya mendapat tempat dan 57,128 daripadanya diterima bekerja di negeri ini melalui program Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu.
Angka tersebut menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran negara yang kini menurun kepada 3.5 peratus sehingga Februari 2023 berbanding empat peratus pada tahun lalu sekaligus menunjukkan peluang pekerjaan kembali normal.
Menurut Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal, angka tersebut turut disumbang melalui usaha menjelajah ke seluruh negara dan kali ini pada 6 dan 7 Mei, karnival kerjaya MyFutureJobs dianjurkan di Selangor dekat Dewan Hamzah, Klang.
“Sejak Januari 2020 hingga Mac 2023, portal pekerjaan MyFutureJobs mencatatkan 686,419 kekosongan jawatan aktif yang terbuka kepada semua pencari kerja di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, Selangor merupakan negeri dengan kekosongan jawatan aktif yang terbanyak iaitu 225,182 jawatan.
“Hari ini hampir 7,500 peluang pekerjaan melalui 38 majikan yang datang dengan pelbagai jenis pekerjaan dan mereka pun turut serta dalam aspirasi kerajaan untuk membantu masyarakat pencari kerja,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Dalam pada itu, menerusi program sama, beliau turut menggalakkan orang ramai yang mencari pekerjaan untuk mendaftar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bagi pasangan dengan caruman sebanyak RM120 setahun atau RM10 sebulan yang diperkenalkan pada 2021.
“Jumlah pencarum aktif setakat hari ini, hampir 176,000 pencarum yang mengambil skim ini. Memang jumlah ini akan naik, tetapi bukan berharap untuk capai sasaran, paling penting adalah manfaat yang akan diperolehi sangat baik.
“Skim suri memang baik, kita akan terus uar-uarkan dan maklumkan kepada orang ramai. Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan, jadi bila ada caruman sebegini rupa, ia akan sekurang-kurangnya menjamin masa depan mereka,” ujarnya. – UTUSAN