150 keluarga Syed Hussain kekal tradisi berkumpul sempena raya - Utusan Malaysia

150 keluarga Syed Hussain kekal tradisi berkumpul sempena raya

AHLI keluarga Syed Hussain Al-Edrus meneruskan aktiviti berkumpul beramai-ramai sempena raya yang diadakan di sebuah inap desa di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tradisi pertemuan keluarga Allahyarham Syed Hussain Al-Edrus setiap kali tibanya Syawal sejak 50 tahun lalu diteruskan tahun ini oleh kira-kira 150 ahli keluarga ber­kenaan, baru-baru ini.

Kesemua mereka yang ke­seluruhannya hadir daripada 43 keluarga kecil terdiri daripada anak, menantu, cucu, cicit dan piut Syed Hussain berkumpul dalam suasana meriah dan ceria di sebuah inap desa, di sini.

Menurut Ketua Persatuan Keluarga Syed Hussain Al-Edrus, Syed Zainol Abidin Syed Hussain, kebanyakan ahli keluarga besar itu menetap di negeri ini, Perlis, Kuala Lumpur dan juga Singapura.

“Pertemuan keluarga ini dimulakan Syed Hussain yang merupakan seorang kakitangan kerajaan sejak 1972.

“Setiap kali Syawal, maka ahli keluarganya akan diajak untuk berhimpun di kediamannya di Tanjung Bendahara, Alor Setar secara beramai-ramai pada 2 Syawal.

“Maka tradisi itu diteruskan hingga kini walaupun Syed Hussain sudah meninggal dunia pada 1987. Setiap kali 2 Syawal, memang ahli keluarga ini akan berkumpul beramai-ramai bagi mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Antara aktiviti yang diadakan dalam pertemuan tersebut adalah majlis bacaan tahlil, penyampaian duit raya kepada kanak-kanak, sesi memotong kek serta aktiviti cabutan bertuah.

Tambahnya, Syed Hussain memiliki seramai 19 anak hasil perkongsian hidup bersama lima isteri iaitu Che Som Omar; Sharifah Intan; Zauyah Daud; Zaiton Saad dan Sharifah Sepora Syed Ali Baraqbah.

“Pertemuan sebegini perlu diadakan kerana semakin hari, ahli keluarga ini makin bertambah. Bimbang nanti ada pula yang tidak mengenali sanak- saudara sedangkan masing-masing memiliki pertalian darah.

“Alhamdulillah, jumlah ahli keluarga ini bertambah saban tahun. Jika dihimpunkan ke­semuanya, jumlah kami semua mencecah kira-kira 200 orang. Saya harap pertemuan ini dapat diteruskan sampai bila-bila demi meneruskan ukhuwah dan silaturahim sesama kami,” katanya.

Menurut Syed Zainol Abidin, ketika ini hanya lima orang anak Syed Hussain yang masih hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya