13 MPP UiTM terima peruntukan RM10,000 - Utusan Malaysia

13 MPP UiTM terima peruntukan RM10,000

MPP UiTM
AHMAD Zahid Hamidi bermesra dengan mahasiswa ketika menghadiri Majlis Riang Raya MPP bersama Timbalan Perdana Menteri di UiTM Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kesemua 13 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara bakal menerima peruntukan sebanyak RM10,000.

Peruntukan tersebut diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dijangka melibatkan nilai  keseluruhan berjumlah RM130,000 melalui perwakilan siswa itu di setiap negeri.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan tersebut wajar dimanfaatkan kepimpinan untuk menganjurkan program dan aktiviti bersama mahasiswa termasuk membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, penganjuran program tersebut hendaklah mengikut garis panduan melibatkan bantuan kebajikan kepada mahasiswa serta membantu generasi muda di komuniti setiap negeri untuk menggalakkan mereka memasuki institusi pengajian tinggi.

”Saya tahu banyak lagi masalah dan keperluan yang saudara dan saudari perlukan. Bukan saha isu bas dan sebagainya, tetapi banyak lagi. Saya tahu sebab saya juga pernah (menjadi mahasiswa) menghadapi masalah yang sama.

“Untuk peringkat pertama bagi MPP di seluruh kampus UiTM, saya umumkan peruntukan RM10,000  bagi setiap kampus. Gunakan duit itu untuk berinteraksi dengan rakan-rakan, anjur aktiviti berfaedah,” katanya ketika menghadiri Majlis Riang Raya MPP bersama Timbalan Perdana Menteri di UiTM Puncak Alam, hari ini.

Jelasnya, peruntukan tersebut akan ditambah pada hujung tahun ini berdasarkan keberkesanan program dan aktiviti baik yang dilaksanakan.

Terdahulu, Presiden UMNO itu dalam ucapan mengingatkan mahasiswa tentang kepentingan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta Akta UiTM yang memberi perbezaan kepada universiti bumiputera itu berbanding institusi lain.

“Dahulu saya seorang mahasiswa di Universiti Malaya (UM) dan pernah menjadi anti-establishment, namun situasi tersebut kini sudah berubah apabila mahasiswa diberikan saluran untuk menyampaikan pendapat.

“Perubahan tersebut pada ketika ini menunjukkan komitmen kerajaan membentuk landskap masa hadapan negara. Kerajaan perlu menukar sikap ‘betul’ semua dan ‘tahu semua’. 

“Generasi muda adalah aset negara yang penting dan menjadi peserta menerusi gelanggang transformasi negara terutama dalam melontarkan pandangan dan keyakinan untuk membuat perubahan melalui pilihan raya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya