KUALA NERUS: Seramai 12 pesakit tibi yang enggan meneruskan rawatan diambil tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dalam tempoh empat tahun yang lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan mempunyai prosedur khusus untuk menanganinya.
Menurutnya, usaha mencari dan mengesan pesakit yang berhenti daripada menerima rawatan dilakukan dengan pelbagai kaedah antaranya melalui panggilan telefon, mesej dan menghantar pegawai ke rumah.
“Sekiranya masih gagal, kita akan gunakan kaedah perundangan mengikut akta sedia ada.
“Kita juga mempunyai sukarelawan Program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti Malaysia ((MyChampion) untuk membantu mencari pesakit tibi yang berhenti atau tidak tampil mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Kebangsaan tahun 2023 di sini, hari ini.
Ketika ini, rawatan bagi penyakit tibi adalah kombinasi empat jenis antibiotik dan perlu diambil secara berterusan selama enam bulan.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, jumlah kematian tibi di negara ini pada tahun lepas sebanyak 2,572 kes itu dengan kadar kematian 7.9 setiap 100,000 penduduk.
“Jumlah tersebut meningkat sebanyak 284 kematian iaitu 12 peratus berbanding 2,288 kematian pada tahun 2021 (kadar kematian 6.9 setiap 100,000 penduduk).
“Sehubungan itu, usaha bagi saringan awal penyakit tibi membabitkan individu yang mempunyai risiko tinggi seperti kontak kepada kes tibi, pesakit HIV, penyakit buah pinggang kronik, penyakit pulmori kronik, perokok aktif dan penghuni institusi tahanan perlu dipertingkatkan,” katanya. – UTUSAN