11 dituduh ceroboh Tanah Rizab Sungai Klang  - Utusan Malaysia

11 dituduh ceroboh Tanah Rizab Sungai Klang 

Ceroboh tanah rizab
SALAH seorang tertuduh, Tee Soon Beng (kanan) berbincang bersama peguam, Salehuddin Salam ketika hadir di mahkamah bagi berdepan pertuduhan ceroboh Tanah Rizab Sungai Klang, dekat Mahkamah Majistret di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lapan daripada 11 individu termasuk tiga warga asing mengaku salah di tiga Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana menceroboh Tanah Rizab Sungai Klang dekat Seksyen 36, pada 9 Mei lalu.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara berasingan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu, Faizah Abd. Sani dan Muhammad Syafiq Sulaiman.

Tertuduh adalah Ng Teck Loon, 44; Sugan Muniandy, 35; Kumaran Muniandy, 44; Tee Soon Beng, 55 dan Thiagarajan Jay Ramey, 45 yang merupakan warga tempatan.

Tiga warga asing pula ialah Rajul Fuddahri, 20 dan Muhammad Siddiq dari Indonesia serta Amritpal Singh, 25, dari India. 

Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh iaitu Anis Ahmad Hanifah, 45; Shivaneswaran Hutra Gumar, 28 dan Sathishkumar Subramaniam, 34, mengaku tidak bersalah masing-masing di hadapan ketiga-tiga majistret berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan niat hendak melakukan kesalahan kira-kira pukul 11.30 pagi di Jalan Ngah Ibrahim pada hari berkenaan.

Justeru, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga majistret kemudian menetapkan jaminan kepada lapan tertuduh warga tempatan masing-masing sebanyak RM3,000; RM2,000 dan RM1,500 sehingga tarikh keputusan dan sebutan semula. Sementara warga asing tidak dibenarkan diikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 1 dan 16 Jun untuk menyediakan fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman serta prosiding sebutan semula bagi tertuduh yang tidak mengaku salah.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Baghwant Singh, Nurul Farah Sofea Norazman, Saidah Fasihah Che Yussoff dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Sebahagian tertuduh pula diwakili peguam Farith Emier Farhan, Harvind Ramar, Jason Anthony dan Salehuddin Salam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya