PUTRAJAYA: Sejumlah 10,000 kursus secara percuma melibatkan 125,000 peserta dan 5,000 pengajar disasarkan menerusi penyertaan program National Training Week (NTW) 2023 bermula hari ini hingga 28 Mei.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, program kali pertama dianjurkan di negara ini adalah platform terbaik untuk mendorong rakyat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan menerusi pelbagai kursus latihan kemahiran insaniah dan teknikal.
“Modal insan merupakan sumber penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang mantap dan berterusan.
“Sehubungan itu, Malaysia perlu mendorong tenaga kerja dan bakat tempatan untuk terus belajar dan berkembang bagi meningkatkan daya saing global dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, kata Sivakumar, para peserta diharap dapat menyelesaikan lebih daripada 500,000 jam latihan secara kolektif dan penyedia latihan dapat menyampaikan nilai latihan lebih daripada RM250 juta.
Katanya, NTW 2023 adalah minggu latihan dan aktiviti di seluruh negara yang mengumpulkan organisasi serta individu dari pelbagai latar belakang dan industri untuk latihan dan pembangunan.
“Ini adalah program pertama kali dilaksanakan oleh individu dan organisasi tempatan kepada semua rakyat secara intensif dan berfokus kerjaya berteraskan Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET),” katanya.
Inisiatif ini dilaksanakan pihaknya melalui pelbagai agensinya, terutama Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan sokongan daripada kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan Tinggi termasuk kerajaan negeri. – UTUSAN