10 ditahan disyaki terlibat sindiket judi online - Utusan Malaysia

10 ditahan disyaki terlibat sindiket judi online

KHAW Kok Chin menunjukkan suspek-suspek yang ditahan kerana terbabit dalam sindiket judi online dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis menahan 10 individu masing-masing dua lelaki dan lapan wanita tempatan di sebuah rumah kedai di sini, Khamis lalu kerana dipercayai terlibat dengan sindiket judi online.

Ketua Polis Pinang Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi pukul 3.30 petang itu, kesemua tangkapan yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an terbabit dipercayai terlibat dengan kegiatan judi dalam talian sejak 10 bulan lalu.

Jelas beliau, premis itu dipercayai dijadikan pusat panggilan (calling centre) sindiket itu untuk mempromosi kegiatan judi online dan kesemua suspek dipercayai dibayar untuk menjalankan promosi kegiatan terbabit.

”Polis percaya sindiket ini mensasarkan mangsa-mangsa dari luar negara untuk turut serta bermain judi dalam talian ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu ialah suspek akan dibekalkan nombor telefon daripada ejen di lokasi berlainan menerusi Google Drive untuk menghubungi pelanggan dari luar negara bagi menawarkan aktiviti judi online.

“Sekiranya ada yang berminat, suspek akan memberikan pautan (link) kepada pelanggan bagi tujuan pendaftaran dan segala transaksi kewangan akan diuruskan oleh ejen lain,” katanya.

Tambahnya, kesemua tangkapan telah diberikan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

”Polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 16 unit telefon bimbit, 10 unit CPU, 10 unit keyboard, skrip perbualan dan lain-lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun di Jalan Taman Rupawan, Kepala Batas, dekat sini semalam kerana disyaki terbabit dengan kegiatan mencuri kabel.

Jelasnya, terdahulu anggota polis dari Unit MPV IPD Seberang Perai Utara dalam tugas ronda di Jalan Pongsu Seribu, Kepala Batas dekat sini terserempak dengan dua buah kereta pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan Mitsmubishi Triton dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4 pagi.

“Anggota MPV bertugas tersebut telah mengarahkan kedua-dua pemandu kenderaan berhenti untuk pemeriksaan tetapi kedua-duanya tidak memberi kerjasama dan terus memecut laju kenderaan mereka,” katanya.

Tambahnya, anggota MPV tersebut bersama bantuan dari beberapa unit peronda MPV lain mengejar dua kereta tersebut sehingga ke kawasan sempadan Sungai Petani, Kedah dan kereta jenis Nissan Navara telah hilang jejak.

”Sebuah MPV lagi terus mengejar sebuah lagi kereta pacuan empat roda jenis Mitshubishi Triton dan polis berjaya menahan kereta tersebut di Jalan Taman Rupawan, Kepala Batas bersama dua lelaki tempatan.

”Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek tersebut, polis menjumpai 52 batang kabel yang telah di potong di bahagian belakang kereta,” katanya.

Tambah beliau, suspek ditahan reman sehingga 1 Jun ini dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya