Zaman pandemik pengaruhi mahasiswa ponteng kelas

Zaman pandemik pengaruhi mahasiswa ponteng kelas

KERATAN laporan Utusan Malaysia dalam ruangan Forum hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah biasa dengan pembelajaran dalam talian menjadi antara faktor terdapat segelintir mahasiswa di negara ini gagal menghadiri kuliah di universiti setiap hari.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Badrul Alif Naqiuddin Badrul Zaman berkata, pembelajaran pada zaman pandemik Covid-19 telah mempengaruhi gaya pembelajaran sebilangan mahasiswa.

“Apabila nak beralih ke pembelajaran fizikal, ia memang sukar kerana mahasiswa sekarang terlalu selesa belajar dalam talian.

“Dahulu, mereka hanya perlu membuka komputer riba untuk masuk ke kelas namun, sekarang semua persiapan seperti bersiap dan pengangkutan perlu dilakukan dahulu sebelum ke kelas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ruangan forum Utusan Malaysia hari ini melaporkan luahan seorang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia, Maisarah Surani yang mendakwa semangat untuk belajar kian pudar dalam diri mahasiswa universiti. 

Katanya, ketidakhadiran mereka ke kuliah tanpa sebab munasabah bukan perkara yang aneh kepada pensyarah.

  Badrul Alif berkata, semua pihak terlibat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan isu ponteng dalam kalangan mahasiswa boleh ditangani.

“Pihak universiti boleh menaikkan peraturan kehadiran kuliah yang memberi kesan terhadap kehadiran peperiksaan akhir semester yang lebih ketat daripada 80 peratus kepada 90 peratus. 

“Para pensyarah juga boleh menukar cara pengajaran yang lebih interaktif dan tidak membosankan agar dapat menarik minat mahasiswa untuk hadir ke kelas,” katanya.

 

MOHD. IZUAN FAIZ ABD. RAHMAN

Sementara itu, Yang Dipertua MPP Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Izuan Faiz Abd. Rahman berkata, selepas dua tahun di zaman pandemik, kebanyakan mahasiswa takut untuk bersosial dengan orang ramai. 

Katanya, pensyarah dan rakan sekelas perlu mengambil berat tentang individu yang kerap ponteng ke kuliah. 

“Para pensyarah juga perlu menjadi pendidik yang sering bertanya tentang masalah yang sering dihadapi oleh pelajar.

“Mungkin segelintir mahasiswa yang ponteng ke kelas mempunyai masalah yang tidak dapat ditangani sendiri,” katanya. 

Mohd. Izuan juga berkata, mahasiswa pada masa ini ramai yang menghadapi masalah tekanan mental dan kemurungan. 

“Dengan adanya rakan dan pensyarah yang sering bertanya dan menasihati, golongan-golongan yang sering ponteng ini dapat memotivasikan diri dan mencapai matlamat sebenar mereka menyambung pelajaran hingga di peringkat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya