Zahid ikrar Ahli Parlimen BN akan terus sokong Anwar

Zahid ikrar Ahli Parlimen BN akan terus sokong Anwar

ANWAR Ibrahim bersama Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan PH dan BN mengaminkan doa yang dibaca sempena Himpunan Madani Kedah 2023 di Dataran Stargate, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan gabungan itu tidak akan menggugat sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Kerajaan Perpaduan yang sudah memasuki usia enam bulan bukan sahaja berdepan cabaran untuk sukar dibentuk pada awalnya, tetapi lebih sukar lagi untuk kerajaan itu terus dipertahankan.

Katanya, rezeki BN dan Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk Kerajaan Perpaduan walaupun pada awalnya mempunyai 112 kerusi Parlimen yang hanya melepasi angka menubuhkan kerajaan sahaja sebelum menerima sokongan dua pertiga daripada 148 Ahli Parlimen.

“Untuk bentuk kerajaan kita ada 112 (kerusi), untuk kerajaan yang stabil kita dapat 148 (kerusi). Bukan tak ada cabaran, pelbagai cabaran termasuk baru-baru ini kononnya ada 15 orang Ahli-Ahli Parlimen BN nak letak jawatan, nak adakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Saya tidak mahu mendahului hukum Allah. Sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO saya akan pertahan semua Ahli-Ahli Parlimen BN akan terus memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Madani Kedah 2023 di Dataran Stargate di sini.

Ahmad Zahid dipercayai mengulas dakwaan terdapat rancangan untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar dengan kononnya beberapa Ahli Parlimen BN akan meletak jawatan bagi membuka laluan kepada PRK.

Beliau berkata, kombinasi antara kedua-dua gabungan berkenaan perlu dipertahankan secara bersama sehingga berakhir penggal ini demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.

“Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sekali pilihan raya (terdapat) tiga Perdana Menteri. Selepas seorang itu perintah 22 tahun (beliau) perintah 22 bulan, selepas itu 17 bulan dan kemudian 14 bulan.

“Insha-Allah dengan dokongan rakyat, Perdana Menteri hari ini akan menghadapi PRU16. Tetapi sebelum itu ada enam Pilihan Raya Negeri (PRN). Kita bertemu pada malam ini, (meskipun) dulu mata saya agak alergik melihat baju biru agak muda tapi baju biru muda dan biru tua kombinasi terbaik antara BN dan PH yang kerajaan inilah kita perlu pertahankan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya