PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyumbang hampir RM80,000 kepada pelajar Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) dalam kalangan B40, anak yatim dan asnaf menerusi bantuan Ramadan dan Aidilfitri.
Ia bersempena dengan Program Semarak Kasih Yang Dipertua Negeri Melaka bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, sebanyak RM300 setiap seorang diberikan kepada 200 pelajar B40 UTeM dan 50 pelajar World Youth yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf.
Beliau berkata, bantuan yang melibatkan 250 pelajar itu adalah sebagai tanda menyemai kasih dan ihsan sempena bulan yang barakah serta memberi sedikit kelegaan dalam menguruskan keperluan.
“Setiap tahun YBR mengambil inisiatif untuk menyediakan bantuan sempena bulan Ramadan bagi membantu mereka yang memerlukan dan memberi sinar keceriaan dalam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelma.
“YBR amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan serta sentiasa berusaha memperbanyakkan lagi bantuan-bantuan lain bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.
“Saya berharap lebih banyak program-program sebegini dapat diadakan sekaligus dapat merapatkan lagi silaturrahim di antara organisasi luar dengan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, bantuan khas yang diberikan kepada pelajar itu merupakan kerjasama yang dikenal pasti melalui UTeM bagi memudahkan proses pemberian bantuan. – UTUSAN