XONE tidak peduli kecaman - Utusan Malaysia

XONE tidak peduli kecaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP permulaan didatangkan dengan cabaran dan kesusahan. Bagi kumpulan XONE, langkah ke dunia hiburan tidak semudah disangka.

Kritikan demi kritikan dilemparkan, antaranya amat mengguris perasaan. Namun, dua sahabat baik, Ellya Keesha dan Nelysa Kay yang berusia 20 tahun ini memandang ke depan tanpa mengambil peduli cakap buruk orang.

“Ada yang kata tak kenal dan mengatakan nyanyian kami sumbang setelah menonton video- video nyanyian terdahulu.

“Agak pahit untuk ditelan, tetapi kami terima. Ini adalah proses pembelajaran, jadi, terima kasih buat yang menyokong,” kata Nelysa.

Ellya tidak menafikan ada yang tidak berpuas hati terhadap kemunculan XONE dalam arena muzik tempatan.

Namun baginya itu bukanlah penghalang untuk kumpulan tersebut terus maju ke depan.

“Kami masih muda, tak mahir tentang selok belok industri. Tapi kami percaya, yang mengecam di media sosial tidak tahu apa yang mereka tulis.

“Kami sekarang lebih bersedia berdepan situasi sebegini. Yang penting adalah percaya diri dan sokongan peminat yang tak berbelah bahagi,” katanya.

Dalam yang membenci, pasti ada yang menghargai. Kata Ellya, XONE perlu fokus kepada yang menyokong kerana semangat mereka amat penting untuk kelangsungan kumpulan tersebut.

“Alhamdulillah, lebih banyak yang menyokong berbanding yang menolak kehadiran kami dalam industri seni.

“Memang ada yang memandang kami sebelah mata, tetapi tidak mengapa kerana jumlah yang menghargai kami lebih ramai.

“Oleh itu, kami raikan mereka yang memberi sokongan dan manfaatkan dorongan mereka untuk kami bergerak ke depan,” katanya.

Dibandingkan dengan Dolla

Lumrah, kumpulan baharu pasti dibandingkan dengan yang sedia ada. XONE tidak terkecuali, kerana mereka juga dibanding-bandingkan dengan kumpulan Dolla. Bagi Nelysa, mereka melihat keadaan itu pada sisi positif

“Perbandingan itu memang berlaku, tetapi kami menerimanya secara positif kerana penyokong kami juga terdiri dalam kalangan peminat Dolla.

“Penggemar muzik Pop Dance menyokong setiap penyanyi yang membawakan genre ini. Mereka sebenarnya menyatukan kami.

“Jadi, kami tidak menganggap perbandingan sebagai perkara negatif, malah kami cukup berbesar hati kerana berkongsi ruang yang sama dengan kumpulan hebat seperti Dolla,” jelasnya.

1.2 juta tontonan

Muncul dengan single Lantaklah, XONE merekodkan pencapaian peribadi apabila lagu berkenaan berjaya menambat hati pendengar.

Lagu dihasilkan tahun lepas ini menerima sambutan menggalakkan. Malah, pendengar berpuas hati dengan kualiti video muziknya yang dianggap setaraf kualiti antarabangsa.

“Sambutan amat memberangsangkan. Lebih menggembirakan apabila video muzik lagu ini ditonton 1.2 juta pelayar di Youtube hanya dalam satu minggu.

“Kami ambil dua tahun untuk siapkan lagu ini, letakkan segala usaha kami untuk menjayakannya.

“Saya rasa keikhlasan yang kami curahkan dalam lagu ini membuatkan ia diterima baik pendengar,” kata Ellya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya