JOHOR BAHRU: Pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini terus menjadi tumpuan ribuan warga Singapura yang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Tinjauan Utusan Malaysia di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall mendapati, premis berkenaan dikunjungi ramai warga republik itu seawal pukul 10 pagi, iaitu sejurus selepas memulakan operasi hariannya.
Seorang pengunjung, Supaid Karmat, 72, memberitahu, memang tradisi mereka sekeluarga untuk mencari barangan keperluan Aidilfitri di bandar raya ini.
“Sejak muda lagi, memang apabila perayaan Aidilfitri tiba, kami akan datang ke Johor Bahru untuk membeli kelengkapan raya, sama ada baju, kuih-muih mahupun perhiasan rumah.
“Jika dibandingkan dengan Singapura, pilihan di sini jauh lebih banyak dan harganya juga lebih berpatutan dan memang saya serta keluarga sering ke Johor Bahru untuk tujuan itu. Antara pusat beli-belah yang menjadi tumpuan termasuk Angsana, Kotaraya dan beberapa lokasi lain lagi,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Wida Hussein, 60, yang ditemani suami bersyukur pandemik Covid-19 telah berlalu, sekali gus membolehkan pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
“Sebelum pandemik, kami kerap berkunjung ke rumah ahli keluarga di Pasir Gudang, termasuk ketika bulan Ramadan untuk berbuka puasa bersama-sama. Namun, apabila Covid-19 tercetus, sempadan ditutup dan dalam tempoh dua tahun itu, saya tidak dapat bertemu dengan kakak dan keluarganya yang menetap di negara ini.
“Syukur alhamdulillah, keadaan sudah kembali seperti biasa, kami bukan sahaja boleh menziarahi, malah rakyat Singapura juga boleh kembali membeli-belah di sini,” katanya yang mengakui kadar tukaran mata wang asing merupakan faktor utama mengapa ramai rakyat republik itu memilih untuk membeli persiapan Aidilfitri di bandar raya ini.
Seorang lagi rakyat negara itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan, 33, mengakui dia dan rakan-rakannya turut datang ke bandar raya ini untuk membeli barangan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Juruteknik tersebut turut mengakui di sini lebih banyak pilihan dan dijual pada harga lebih murah. – UTUSAN