SHAH ALAM: Seorang warga asing maut dalam kejadian kebakaran sebuah bengkel kereta dekat Jalan Jemuju Tiga, Seksyen 16 di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, lelaki warga Pakistan bersuai 30-an itu ditemukan tidak sedarkan diri.
“Bomba menerima panggilan pada pukul 5.12 pagi sebelum tiba di lokasi bersama sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan mendapati sebuah lot kedai dua tingkat terbakar 60 peratus.
“Api berjaya dikawal kira-kira 30 minit kemudian dan padam sepenuhnya pada pukul 6.07 pagi. Dilaporkan terdapat seorang mangsa lelaki warga Pakistan berumur 30an tidak sedarkan diri dan berjaya dikeluarkan oleh bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol, mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan melecur teruk pada kedua-dua belah kaki.
“Bangunan bengkel tersebut merupakan bangunan dua tingkat dan terdapat mangsa seorang lelaki yang dipercayai pekerja bengkel tersebut dijumpai di tangga bangunan tidak berjaya menyelamatkan diri.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dan mengalami kecederaan melecur pada kedua-dua belah kaki. Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat,” jelasnya.
Beliau menambah, punca kebakaran masih disiasat oleh bomba dan kes diklasifikasikan sebagai laporan kebakaran dan kematian mengejut. – UTUSAN