Warga emas tidak mengaku scam derma - Utusan Malaysia

Warga emas tidak mengaku scam derma

Scam derma
V. Vijaya Lakshmi dibawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyalahgunakan wang derma, di Komples Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bala RM100, seorang wanita warga emas berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan dan denda kerana didakwa menyalahgunakan duit dipercayai didermakan oleh seorang individu pada 22 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, V. Vijaya Lakshmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan terhadap seorang wanita berusia 27 tahun.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berusia 60 tahun didakwa dengan curang menyalahgunakan wang yang dipindahkan ke akaun bank miliknya secara dalam talian dan dipercayai dilakukan dekat Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh.

Justeru, ibu kepada empat orang anak itu dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Baghwant Singh kemudian menawarkan Vijaya Lakshmi diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Namun, peguam tertuduh, Mohd. Safwan Saleh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas faktor anak guamnya dan suami tidak bekerja, sebaliknya disara oleh salah seorang anak mereka.

Selain itu, tertuduh juga dikatakan mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU).

Justeru, Majistret Sasha Diana Sabtu membenarkan Vijaya Lakshmi diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Jun ini.

Terdahulu, tertuduh dilaporkan ditangkap polis bersama anak lelakinya berusia 28 tahun bagi membantu siasatan terhadap aktiviti penipuan (scam) permohonan sumbangan atau derma melalui media sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis menemukan wang tunai berjumlah RM110,011 dipercayai hasil sumbangan orang persendirian yang hendak dihantar ke India secara haram.

Selain itu, polis turut menemukan RM208,000 dalam akaun milik tertuduh juga dipercayai hasil sumbangan orang ramai.

Malah, sebelum ini turut dilaporkan sebuah keluarga terbabit dalam kegiatan penipuan itu dengan menggunakan alasan untuk menampung rawatan perubatan anaknya berusia 33 tahun yang menghidapi kanser dan sedang dirawat dekat sebuah hospital di Thirichy, India.

Mereka dikatakan meminta sumbangan bagi menampung kos rawatan pembedahan berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan penyakitnya merebak lebih teruk.

Tindakan mereka dipercayai dilakukan sejak 2014 dan berjaya memperoleh ratusan ribu ringgit hasil sumbangan daripada orang ramai termasuk dengan bantuan publisiti daripada seorang pempengaruh media sosial.

Selain menerima sumbangan orang ramai, wanita dan anaknya itu juga dikatakan mendekati orang kenamaan, pegawai kerajaan, ahli politik dan pengamal media untuk meminta derma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya