KOTA TINGGI: Seorang wanita Rohingya hanya mampu menangis apabila ditahan bersama dua anaknya berusia tiga hingga lima tahun dalam Op Bersepadu Pengemis Pendatang Tanpa Izin di sekitar bandar ini, semalam.
Wanita berusia dalam 40-an itu mendakwa dia sebelum ini bekerja di kedai makan sebelum menjual tisu untuk menyara kehidupan mereka di Jalan Niaga 1 di sini.
Selepas mengetahui kesalahannya itu, wanita tersebut yang juga pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) namun telah tamat tempoh merayu dilepaskan dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Nik Azaham Nik Aziz berkata, wanita terbabit antara enam yang ditahan dalam operasi tersebut dan hasil siasatan mendapati ada antara pengemis datang dari luar negara.
“Ibu pejabat Polis Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah adakan operasi bersepadu kesan pengemis dalam daerah ini bermula pukul 2. 30 hingga 4.30 petang.
“Hasil tinjauan di bandar Kota Tinggi pihak kami telah berjaya menahan tiga lelaki, seorang wanita Myanmar dan dua kanak-kanak Myanmar berada di kawasan bank minta sedekah tanpa ada kebenaran daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Kesemua tangkapan ini diserahkan kepada pihak Imigresen, selebihnya diserah kepada JKM,” katanya selepas operasi tersebut di IPD Kota Tinggi.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya operasi seumpama itu akan dilakukan secara berterusan dan hingga kini pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan bagi pengutip derma yang menyasarkan kawasan orang ramai seperti bazar Ramadan dan pasar malam .
“Kepada orang ramai kita nasihatkan agar salurkan derma kepada saluran yang disahkan dan diperakui MAINJ dan jabatan-jabatan lain terutamanya majlis zakat dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN