IPOH: Seorang wanita maut manakala suami dan anaknya parah selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan lori muatan sayur di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Raya di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Ting Cheong Mee, 57.
Difahamkan, anak perempuan mangsa yang memandu kereta Honda City, Yong Yee Tong, 32, dan suami Cheong Mee yang belum dikenal pasti identiti cedera parah.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 3.29 petang.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta Honda City dinaiki tiga beranak dan sebuah lori tiga tan muatan sayur.
“Berdasarkan maklumat awal, kereta dinaiki tiga beranak beralamat di Taman Pinji Mewah, Ipoh itu dalam perjalanan dari arah Cameron Highlands ke Ipoh.
“Setibanya anggota di lokasi, didapati mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera parah dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dua mangsa yang parah diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang tamat pada pukul 5.12 petang itu disertai sembilan anggota diketuai Ketua Operasi BBP Simpang Pulai, Johari Mohamad dengan sebuah jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda,” katanya. – UTUSAN