KUALA LUMPUR: Perkhidmatan media penstriman, Viu Malaysia akan memastikan setiap kandungan yang ditayangkan di platform tersebut, lebih-lebih lagi yang bersifat original, sesuai untuk ditonton masyarakat di negara ini.
Menurut Pengarah Produksi (Fizikal), Viu Malaysia, Imillya Irwani Roslan, sehubungan itu, pihaknya akan memantau dan menyemak setiap kandungan bagi memastikan ia tidak menyentuh sensitiviti masyarakat tempatan seperti yang dicetuskan filem Mentega Terbang, baru-baru ini.
“Kami akan lakukan saringan dari awal sampai akhir, setiap cerita dan sinopsis, lebih-lebih lagi kandungan premium yang kami hasilkan sendiri.
“Saya maklum tentang garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF), jelas tentang mana yang boleh dan mana yang tidak.
“Kami elakkan sebarang kandungan melampau atau tak boleh dipertontonkan. Yang penting, kami akan review semula setiap cerita, rujuk pihak sepatutnya kalau timbul sebarang keraguan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis berbuka puasa anjuran Viu Malaysia, baru-baru ini.
Filem Mentega Terbang arahan Khairi Anwar menerima kecaman hebat gara-gara beberapa babaknya yang disifatkan menghina agama Islam sekaligus mencetuskan kemarahan masyarakat tempatan.
Viu bagaimanapun mengambil langkah proaktif, menamatkan penayangan filem tersebut dengan serta merta.
Dalam pada itu, kata Imillya lagi, perkara berkenaan tidak membawa sebarang impak negatif kepada Viu selaku platform yang menayangkan filem tersebut.
“Operasi berjalan seperti biasa. Tiada kesan negatif kepada Viu. Malah semakin ramai yang memilih untuk melanggan Viu,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Imillya juga memaklumkan bahawa pihaknya akan menampilkan lebih banyak kandungan eksklusif yang bersifat original untuk menarik lebih ramai pelanggan di masa akan datang.
“Sudah tujuh tahun Viu Malaysia diwujudkan. Setakat ini pencapaian kami boleh dikatakan baik dengan adanya lebih banyak kandungan yang kami sajikan kepada penonton.
“Bermula tahun lepas, kami perbanyakkan content original kerana penonton semakin ramai.
“Kami perlu fikirkan macam mana nak bergerak seiring dengan platform OTT yang lain. Apa yang kami usahakan adalah kandungan berkualiti, yang dekat dan mudah diterima masyarakat,” tambahnya.