PETALING JAYA: Jangkitan varian Arcturus atau XBB.1.16 masih terkawal dan tiada kesesakan kes Covid-19 dilaporkan di hospital di negara ini setakat hari ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, varian itu dikesan sejak beberapa bulan lalu di seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Masih awal untuk dikatakan sama ada varian baharu ini lebih bahaya atau sebaliknya tetapi mana-mana varian tetap bahaya untuk orang ramai.
“Risiko varian ini tidak banyak berbeza dengan varian lain tetapi ia dikatakan lebih mudah merebak.
“Namun, semua fasiliti kesihatan masih mampu menangani sebarang masalah yang timbul di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan, Pegawai Ketua Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) menyifatkan subvarian Arcturus sebagai antara strain Covid yang paling kompetitif di United Kingdom (UK).
Strain Arcturus yang dianggap 1.2 kali ganda lebih menular berbanding subvarian utama lain, menyebabkan lonjakan kes kematian di India, dengan kes jangkitan meningkat 90 kali ganda sejak ia pertama kali dikesan dua bulan lalu.
Dr. Zainal berkata, langkah pencegahan kendiri yang lebih ketat perlu dilakukan bagi memastikan jangkitan varian itu tidak merebak.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) boleh dikembalikan semula dengan sentiasa memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan, elak tempat sesak, membuat ujian kit dan kuarantin kendiri.
“Kerajaan juga boleh mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah untuk memastikan pengurangan risiko jangkitan secara meluas di sekolah dan dalam komuniti,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Mohamed Rusli Abdullah berkata, walaupun varian arcturus dikatakan mudah merebak, Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal.
“Data-data berkaitan varian ini masih tidak banyak dan menyeluruh kerana masih baru namun tiada peningkatan kes yang drastik berlaku di negara ini.
“Penjagaan diri perlu dilakukan seperti dahulu dan mengamalkan penjagaan kendiri yang lebih baik agar tidak mudah terdedah dengan jangkitan varian ini,” katanya. – UTUSAN