KUALA SELANGOR: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan mencontohi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan kepada pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mengadakan program di sana.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, sebaliknya sehingga kini UiTM masih belum menerima sebarang makluman program daripada Ahli Parlimen Muar itu yang mahu mengadakan sesi dialog di dalam kampus.
“Setakat ini tiada permohonan (daripada Syed Saddiq) sampai kepada saya, cuma surat daripada Perdana Menteri yang sampai memaklumkan beliau akan solat Jumaat di UiTM pada Jumaat ini.
“Untuk permohonan daripada Syed Saddiq, tiada sebarang panggilan dan tiada permohonan melalui email saya. Jika ada, saya akan uruskan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk meneliti perkara yang hendak dibincangkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengagihan bubur lambuk sempena Program Rewang Perdana Bubur Lambuk di UiTM Puncak Alam.
Selain solat Jumaat, Anwar dilapor hadir ke UiTM Shah Alam untuk mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada pukul 11.30 pagi di Anjung Seri Budiman.
Terdahulu, universiti itu dilapor memaklumkan tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pemimpin untuk masuk ke institusi pengajian Bumiputera tersebut selagi ia memberi manfaat untuk para mahasiswa.
Makluman tersebut dibuat susulan Presiden Parti Muda itu dihalang daripada memasuki UiTM untuk mengadakan sesi dialog berhubung isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan mahasiswa praktikal yang didakwa sepatutnya berlangsung dekat Dataran Cendekia anjuran Ikatan Mahasiswa Demokratik.
Dalam pada itu, Roziah menyatakan kecenderungan pemimpin politik yang ingin masuk ke UiTM sebaiknya disertai agenda yang jelas dan bermanfaat untuk warga universiti itu.
“Kalau hendak masuk ke UiTM saya sarankan mereka bincanglah mengenai keperluan negara, tentang isu mahasiswa dan peluang kerja graduan yang akan tamat belajar.
“89.2 peratus daripada 54,000 graduan UiTM yang tamat belajar setiap tahun akan mendapat pekerjaan hasil hubungan kami dengan pihak industri. Jadi, saya sarankan Ahli Parlimen dah pemimpin politik memainkan peranan di luar sana untuk memastikan ekonomi negara lebih baik dan mahasiswa yang keluar universiti semuanya mendapat kerja,” ujarnya. – UTUSAN