PETALING JAYA: Perkongsian terkini penyanyi, Shila Amzah di sebuah kedai barangan kemas bersama pempengaruh media sosial, Ubai mengundang 1001 persoalan.
Persoalan sama ada pasangan itu bakal menjalinkan hubungan ke tahap yang lebih serius atau sekadar bahan kandungan di media sosial semata-mata.
Menerusi video asal yang dimuat naik di Tiktok sebelum dikongsikan di Instagram, Shila menyatakan persetujuan dan mengucapkan terima kasih buat semua yang mendoakan kebaikan dirinya.
“Hari ini, ambil cincin kita. Eh cincin saya sahaja. Terima kasih sayang,” kata Shila.
Ubai kemudian memberi respons: “Rama-rama datang lagi. Tinggal rama-rama sahaja keluar (sambil tunjuk dompet),” selorohnya.
Perkongsian itu mengundang reaksi netizen apabila Ubai meninggalkan komen terkejut kerana Shila tidak berbincang dengan dirinya terlebih dahulu untuk memuat naik video tersebut.
Warga maya turut memuji sikap Ubai yang kelihatan baik dan jujur, namun dilihat agak muda jika dibandingkan dengan Sheila.
“Kalau sudah jodoh tak kira muda ke tua. Ramai suami yang lebih muda tetapi rumah tangga berkekalan.
“Matangnya seseorang itu bukan diukur daripada aspek umur semata-mata,” tulis netizen.
“Comel teman lelaki Sha. Moga bahagia. Tak kisah muda pun janji sama-sama gembira. Yang tua menyakitkan hati pun buat apa kan?” soal netizen lain.
Awal bulan lalu, Shila membuat pengakuan sedang menjalin hubungan cinta dengan Ubai.
Pada 2018, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias, namun tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang sudah berusia dua tahun.