KANGAR : Kepemimpinan baharu UMNO negeri memberi jaminan bahawa masalah perpecahan yang menyaksikan bahagian-bahagian tidak bersatu sebelum ini akan dielakkan sekali gus membuka lebaran baharu dalam mengembalikan kekuatan parti di Perlis.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, barisan kepemimpinan UMNO negeri sudah mencapai kata sepakat dan persetujuan untuk menghidupkan kembali kerjasama dan perpaduan khususnya di setiap bahagian.
Katanya, barisan kepemimpinan yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman sudah meletak satu hala tuju yang sudah pastinya untuk mengembalikan kekuatan parti di Perlis.
“Kami sebenarnya sudah beberapa kali bertemu, kita sudah ada kata sepakat dan persetujuan untuk kita hidupkan kembali kerjasama dan perpaduan di setiap bahagian.
“Perlis ini negeri kecil sahaja, kalau perbezaan sedikit sebelum ini, satu Malaysia tahu. Saya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan sentiasa berbincang dengan pengerusi perhubungan dan apa sahaja keputusan perhubungan negeri kita akan patuhi dan laksanakan.
“Tutup buku lama dan kembalikan kekuatan UMNO Perlis dengan semangat kerjasama dan perpaduan yang kukuh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Ramadan bersama kepimpinan UMNO Bahagian Kangar di Hotel Regency, di sini, semalam.
Pemilihan UMNO baru-baru ini menyaksikan kesemua tiga bahagian UMNO di negeri ini diketuai oleh muka-muka baharu.
Fathul Bari mengetuai UMNO Bahagian Kangar selepas menewaskan penyandang, Datuk Seri Azlan Man yang juga bekas Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Di Arau, Rozabil berjaya mengetuai UMNO Bahagian itu selepas menang tanpa bertanding jawatan berkenaan sekali gus menamatkan dominasi hampir 30 tahun Datuk Seri Shahidan Kassim di kawasan berkenaan.
Selain itu, Padang Besar juga menampilkan muka baharu dengan Ruzaini Rais mengetuai Bahagian itu yang mana sebelum ini ia didominasi oleh seorang lagi ‘otai’ politik, Datuk Zahidi Zainul Abidin, namun dipecat oleh parti selepas bertanding atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Fathul Bari berkata, selain kerjasama erat di peringkat perhubungan dan bahagian-bahagian, beliau juga bakal memberi keutamaan di Bahagian Kangar.
“Menerusi barisan kepemimpinan baharu di Bahagian Kangar ini diharap akan terus berlaku kerjasama dan persefahaman yang baik.
“Malah, dalam mesyuarat bahagian pertama semalam, kita sudah tetapkan hala tuju, jelaskan misi dan visi dan perkara-perkara yang akan dilakukan menerusi pelancaran biro-biro yang telah ditubuhkan ini,” katanya.-UTUSAN