KUALA LUMPUR : Tune Protect Malaysia (Tune Protect) menyasarkan golongan berbangsa Melayu khususnya B40 dan M40 dalam usaha memperkenalkan produk insuran di bawah jenama tersebut.
Menurut Pembantu Pengurus Penjenamaannya, Wan Hafiz Wan Ahmad, sejak beroperasi pada tahun 2012, ramai kalangan pengguna cuma mengetahui produk insuran perjalanan memandangkan sebelum ini mendapat kerjasama penuh dengan syarikat penerbangan tambang murah terkemuka, Air Asia.
Bagaimanapun, menerusi strategi pemasaran yang baharu, Tune optimis mahu mengembangkan lagi produk insuran yang disediakan di bawah Tune Protect.
“Justeru sasaran kami ialah masyarakat Melayu khususnya kategori M40 dan B40. Kami mahu jenama Tune Protect ini lebih banyak diperkenalkan dan ia termasuk menerusi pelbagai usaha yang kami lakukan antaranya menerusi kempen kesedaran.
“Menerusi Tune Protect, tiga insuran perlindungan yang diperkenalkan ialah kesihatan, gaya hidup dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME).
“Antara yang paling popular di kalangan pengguna adalah insurans kesihatan kami yang turut meliputi insurans pergigian,”katanya.
Wan Hafiz berkata demikian semasa ditemui di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail sempena program Gerila Mamak Cyber di sini, hari ini.
Program itu juga dianjurkan bersama Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia).
Bercakap mengenai program tersebut, kata Wan Hafiz, pihaknya tidak menyangka sambutan daripada pengunjung begitu menggalakkan dan ia sekaligus membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan insurans.
“Semalam program yang sama dijalankan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam. Sambutannya juga cukup meriah di sana.
“Kami harap dengan kempen yang dilakukan ia dapat meningkatkan lagi lebih ramai rakyat Malaysia mengambil insurans daripada Tune Protect.
“Tambahan pula ada bangak aktiviti yang disediakan buat pengunjung menerusi program ini. Antaranya pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah seperti pen, pelekat kereta, bag dan lain-lain lagi dengan bermain roda impian,”katanya.- utusan