DUNIA hiburan tanah air malam Jumaat lalu dikejutkan dengan pemergian legenda rock yang juga vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mael XPDC.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir selepas Maghrib ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar selepas mengalami sesak nafas.
Pemergian Allahyarham tentunya dirasai bukan sahaja peminat, malah rakan artis lebih-lebih lagi mereka yang sama-sama berjuang dalam arena muzik rock tanah air.
Hangat Seminggu kali ini berkongsi reaksi rakan industri berkenaan kehilangan permata seni yang cukup disegani ini.
Penyanyi, Nizam Laksamana, 57, berkata, dia pernah mengadakan persembahan bersama arwah Mael XPDC di Johor Bahru, tiga tahun lalu.
Katanya, masih segar dalam ingatan sikap peramah arwah terhadap rakan-rakan artis lain ketika menjayakan persembahan nyanyian di lokasi sama.
“Masa itu arwah nampak sihat lagi. Lepas buat persembahan kami duduk semeja berbual dan makan bersama.
“Rockers ini boleh masuk dengan sesiapa sahaja. Arwah Mael ini memang seorang legenda dan kebanyakan lagu XPDC memang disukai ramai. Tumbuhlah seberapa banyak XPDC sekalipun, peminat arwah sendiri tetap ramai.
“Kalau XPDC ada peminat tegar, Mael sendiri ada kelompok peminat tersendiri kerana nama arwah begitu besar dalam industri. Itu adalah keistimewaan dan kekuatan dimiliki arwah,” katanya.
Mengimbas memori bersama arwah, Nizam yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta berkata, ketika berjumpa mereka tidak akan sesekali bertanya hal peribadi dan menghormati privasi masing-masing.
“Kami sembang sebagai kawan, tak sentuh soal peribadi. Sebagai rockers, hal peribadi penyanyi lain kita tak masuk campur dan hanya fokus hendak buat persembahan. Walaupun kita tahu macam-macam cerita sekalipun, kita hormat sebagai hak peribadi arwah,” katanya.