KULAI: Sebuah trak Mack milik keluarga diraja Johor terlibat dalam kemalangan di Kilometer 18.8 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, anggota trafik menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 6.50 petang.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah trak Mack milik keluarga Diraja Johor dengan dua kereta. Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu disyaki berlaku apabila trak yang sedang bergerak dari arah utara lebuh raya menghala ke selatan itu pecah tayar secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beng Yeow berkata, pemandu trak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.
Pada 2015, nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar heboh diperkata di seluruh dunia selepas menjadi pemilik trak Mack termahal di dunia.
Malah, Kembara Mahkota Johor (KMJ) Edisi ke-19 yang diadakan pada 14 hingga 17 Mei 2016 menyaksikan baginda memandu sendiri trak tersebut sepanjang 842 kilometer perjalanan merentasi 10 daerah di negeri ini.
Baginda memilih menggunakan tiga trak Mack pada program Kembara Mahkota Johor itu menjelajah ke seluruh Johor sekali gus membolehkan rakyat melihat secara dekat trak gergasi itu. – UTUSAN