Tradisi kejut bangun sahur berselawat sambil pukul rebana - Utusan Malaysia

Tradisi kejut bangun sahur berselawat sambil pukul rebana

PENDUDUK yang menyertai program kejut sahur dengan cara berselawat sambil memukul rebana di Taman Klebang Putra 1 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tradisi kejut sahur dengan cara berselawat sambil memukul rebana memberi pengalaman unik kepada saudara baharu, Muhammad Adam Chuwa Abdullah, 54, bagi menyambut Ramadan tahun ini.

Menurut bapa kepada dua anak itu, jika dahulu dia hanya mendengar mengenai kemeriahan aktiviti tersebut, kini dia sendiri berpeluang menjadi ‘jam loceng’ kepada penduduk di Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Taman Klebang Putra 1 untuk mengejutkan mereka bangun bersahur.

Lebih manis lagi katanya, apabila dua anaknya berusia 11 dan sembilan tahun turut tidak mahu melepaskan peluang menyertai perarakan kejut sahur itu.

“Sebelum ini, saya dan keluarga bangun bersahur dengan cara mengunci jam di telefon bimbit sahaja tapi pada tahun ini, suasananya lebih meriah dengan aktiviti kejut sahur.

“Ini pengalaman unik dan sesuatu yang baharu untuk saya walaupun telah 10 tahun memeluk agama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai perarakan kejut sahur di KRT Taman Klebang Putta 1 di sini hari ini.

Bagi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Danish Muqri Mohd. Tajudin, 19, dia berasa teruja menyertai aktiviti yang sebelum ini hanya diketahui melalui pembacaan.

Katanya, acara itu sangat meriah kerana disertai pelbagai peringkat usia daripada anak kecil hingga warga emas.

“Saya tahu di tempat lain pun ada buat acara kejut sahur ini, jadi bila penduduk di sini pun anjurkan aktiviti sama, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk turut serta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KRT Klebang Putra 1, Dr Mohamad Azrul Azly berkata, penganjuran aktiviti kejut sahur tersebut diadakan bagi menghidupkan semula tradisi lama sekali gus mencipta suasana kampung di taman perumahan di bandar.

Katanya, program seumpama itu juga dapat merapatkan hubungan sesama penduduk.

“Selain memberi pendedahan mengenai budaya yang kita miliki kepada generasi muda, program ini juga dapat melatih anak-anak bangun awal untuk bersahur,” katanya.

Program kejut sahur yang pertama kali diadakan itu merupakan inisiatif KRT Taman Klebang Putra 1 bersama Kelab Rebana Klebang Putra.

Menerusi program itu, penduduk berarak menunggang motosikal mengelilingi lebih 400 kediaman di kawasan KRT berkenaan dengan mengalunkan selawat dan paluan rebana. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya