KLANG: Kerajaan akan menyemak senarai mangsa banjir besar Selangor 2021 di Meru, di sini yang masih belum menerima bantuan sebelum menentukan tindakan susulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau meminta wakil kepada mangsa banjir untuk memberikan senarai itu kepada pegawainya secepat mungkin.
“(Minta wakil mangsa) berikan senarai semua mangsa yang tak dapat bantuan ini pada pegawai saya. Insha-Allah saya akan cuba bantu mereka sebaik mungkin,” katanya ringkas ketika ditemui, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 30 mangsa banjir di Meru langsung tidak mendapat sebarang Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pada awal tahun 2022.
Akibat tidak menerima bantuan itu, majoriti mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki serta membeli barangan peribadi mereka yang rosak akibat bencana berkenaan. – UTUSAN