ALOR SETAR: Tiga individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warganegara China ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan kegiatan menipu secara pukau bersemuka menyasarkan warga emas.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis di kawasan Simpang Kuala, di sini pada pukul 11.45 pagi semalam.
Menurutnya, kereta dinaiki ketiga-tiga individu berkenaan yang aktif melakukan kegiatan itu sejak dua bulan lalu dikesan berada di kawasan tersebut melalui risikan Op Gagak yang dilaksanakan polis.
“Penahanan ketiga-tiga suspek dibuat tidak sampai 24 jam selepas mereka dipercayai memperdaya seorang wanita berusia 70 tahun melibatkan kerugian RM110,000. Siasatan mendapati mereka bergerak menggunakan kereta sewa dan akan mengenal pasti mangsa dalam golongan warga emas di pasar pagi.
“Suspek akan berpura-pura meminta bantuan kewangan dengan alasan saudaranya sedang sakit dan memerlukan rawatan segera. Mereka kemudiannya akan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang, barang kemas atau barangan berharga lain dengan menjanjikan pulangan lumayan sebagai balasan.
“Mangsa bagaimanapun hanya sedar telah ditipu apabila mendapati ‘pulangan’ dijanjikan itu hanyalah air mineral serta garam yang diletakkan dalam sampul,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, lelaki tempatan berusia 24 tahun yang ditahan itu ketika disoal siasat mengaku menjadi pemandu kepada dua wanita warganegara China berumur 47 dan 55 tahun tersebut semasa menjalankan penipuan berkenaan.
“Pemeriksaan dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek menemukan beberapa barangan berharga antaranya tujuh subang, enam rantai leher, empat gelang kaki, lima cincin, empat loket dan satu bar yang semuanya diperbuat daripada emas.
“Selain itu terdapat juga dua rantai leher dan sebentuk cincin emas putih, sepasang subang berwarna perak dan seutas jam jenama Rolex,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas wang tunai bernilai lebih RM2,000 melibatkan mata wang tempatan, Yuan dan Dollar Hong Kong dari ketiga-tiga suspek.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan individu tidak dikenali dan dapatkan nasihat ahli keluarga lain sebelum membuat sebarang keputusan untuk membantu orang lain,” katanya. –UTUSAN