SHAH ALAM: Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu dipinda pada perkara-perkara tertentu seperti kebebasan mahasiswa dan akademik berbanding memansuhkannya secara keseluruhan.
Ini kerana, akta tersebut perlu untuk menjaga dan mengawal institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dan peraturannya wajar dipatuhi serta dijadikan panduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan kegiatan mahasiswa dan akademik boleh diperhalusi dan perkara itu diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kementeriannya.
“Berkaitan AUKU, itu mungkin menteri dengan ketua setiausaha kementerian akan teliti. Tetapi, dalam pendidikan tinggi harusnya ada akta, pengawalan IPTA dan IPTS mungkin berbeza sama ada digabung atau digarap itu saya tiada pandangan keras, itu terserah.
“Tetapi apa yang dibangkitkan tentang AUKU itu penting. AUKU ini, peruntukan tentang kebebasan kegiatan mahasiswa itu boleh diperhalusi atau akademik, profesor dan pensyarah boleh menulis dan memberikan pandangan termasuk kritikan,” katanya dalam sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pindaan AUKU 1971 yang dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen hujung tahun ini menjanjikan lebih banyak ruang kebebasan kepada mereka yang bergelar mahasiswa.
Menurut, Mohamed Khaled Nordin, pindaan akta tersebut lebih memfokuskan kepada Seksyen 15 dan 16 iaitu peruntukan yang berkaitan dengan pelajar.
Beliau turut memaklumkan bahawa draf bagi pindaan akta itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sekitar pertengahan Jun ini.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan kebebasan mahasiswa bukan bermakna tiada peraturan atau tidak perlu menghormati kewujudan institusi untuk mengadakan sebarang program di dalam sesuatu kampus.
“Macam dibangkitkan sebelum ini katanya sikap saya, saya terbuka siapa hendak datang, datanglah. Tetapi ada peraturannya, kena maklum dewan mana, itu sahaja. Tetapi saya tidak fikir kita harus sekat.
“Melainkan kalau ada sikap yang membawa kepada permusuhan kaum atau agama itu kita tegas, saya tidak peduli, saya tetap hendak jaga supaya keselamatan negara terkawal, tidak tolak ansur bab itu,” ujarnya menjawab isu berhubung tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tidak dibenarkan masuk ke UiTM baru-baru ini.
Jelasnya lagi, Hal Ehwal Pelajar (HEP) perlu memastikan dan mengawal program sedemikian namun bukan bersifat mengongkong sebaliknya pemimpin yang berhasrat hadir perlu memaklumkan tempat dan tidak merosakkan keharmonian dalam di kampus. – UTUSAN