KUALA LUMPUR: Adik Shila Amzah yang juga penyanyi, Syada Amzah mempertahankan tindakannya yang menulis surat terbuka terhadap isu perkahwinan ayahnya, Datuk ND Lala sebagai cara untuk menyampaikan apa yang terbuku di hatinya.
Kata Syada, tiada niat lain yang mendorong tindakan berkenaan, jauh sekali untuk mengaibkan keluarga.
“Surat terbuka itu dimuat naik di Instagram sekitar pukul 5.30 pagi, yang mana waktu selepas saya selesai bersahur.
“Saya hanya terpanggil untuk menulis, tak adalah merancang untuk memaklumkan ahli keluarga sebelum memuat naik perkongsian tersebut.
“Bagi saya, platform yang saya pilih untuk kongsikan adalah Instagram saya sendiri. Saya tidak membuka aib sesiapa, hanya mahu menyampaikan apa yang ingin saya perkatakan kepada ayah saya, itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman kempen Jelajah Marilah Pulang anjuran Vida Malaysia, baru-baru ini.
Terdahulu, konflik rumah tangga ND Lala hangat diperkatakan selepas penyanyi itu didakwa berkahwin dengan seorang wanita muda, Siti Munirah Abd. Ghani yang merupakan kawan sepersekolahan anaknya, Shila.
Pendedahan tersebut telah dibuat oleh isterinya, Datin Fauziah Sarman.