Tidak ada lagi ‘ribut’ di dalam UMNO Perlis - Utusan Malaysia

Tidak ada lagi ‘ribut’ di dalam UMNO Perlis

ROZABIL Abd. Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu, Datuk Rozabil Abd. Rahman yakin tidak akan berlaku lagi ‘ribut’ atau ‘taufan’ di dalam kepemimpinan parti itu di Perlis seperti sebelum ini.

Hal demikian kata Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau, kepemimpinan baharu di peringkat negeri dan tiga bahagian tersebut telah mencapai kata sepakat bagi mewujudkan perpaduan dan kerjasama yang baik.

Katanya, UMNO di tiga bahagian di negeri ini harus berada di dalam satu pasukan yang kuat jika berhasrat kembali menawan negeri ini dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Tiga bahagian telah setuju tidak mahu lagi berlaku persaingan sesama bahagian dan bersetuju menjalinkan kerjasama yang erat. Saya percaya kerjasama yang erat dan semangat perpaduan ini dapat kita jalankan.

“Kita mempunyai keyakinan cukup tinggi untuk bekerjasama dalam kalangan kami (tiga bahagian). Kita juga sudah beri komitmen kepada presiden parti bahawa UMNO Perlis tidak akan jadi seperti 30 bahagian lagi.

“Dahulu orang selalu sindir Perlis yang mempunyai tiga bahagian seolah-olah seperti 30 bahagian kerana selalu bergaduh. Insya-Allah kami akan bekerja dalam satu pasukan, untuk pastikan kita bekerja dengan lebih kuat, erat dan berusaha merampas Perlis kembali kepada Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui pada majlis moreh bersama media di The Bunker Cafe, Batas Liku di sini semalam.

Tambah Rozabil, ketiga-tiga ketua UMNO bahagian yang baharu ini mampu menjalinkan kerjasama dengan baik.

“Saya sudah kenal Ruzaini Rais (Ketua UMNO Bahagian Padang Besar) sudah lama, manakala Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya (Ketua UMNO Bahagian Kangar) seorang yang sangat rasional. Kita sudah banyak kali berbincang dan capai kata sepakat yang kalau kita hendak tawan balik Perlis dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat, ketiga-tiga kami harus berada dalam satu pasukan,” katanya.

Katanya lagi, salah satu faktor kekalahan UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis sebelum ini adalah disebabkan masalah perpaduan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Rozabil berkata, UMNO Perlis akan membantu UMNO Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, proses pembahagian tugas tersebut akan ditentukan kelak sama ada akan ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah atau bahagi dengan negeri-negeri lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya