Tidak ada halangan masuk sekolah, kemukakan permohonan - Utusan Malaysia

Tidak ada halangan masuk sekolah, kemukakan permohonan

FADHLINA Sidek (tengah) bergambar bersama warga pendidik pada majlis berbuka puasa bersama warga pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Pendidikan tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk pemimpin politik pembangkang memasuki sekolah untuk sebarang program namun perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian sebenarnya telah mengeluarkan garis panduan bagaimana tata cara kemasukan tersebut iaitu bukan sahaja untuk orang kenamaan seperti ahli politik tetapi kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perseorangan yang mesti mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, proses tersebut telah pun diperincikan dalam garis panduan tersebut termasuklah kebenaran mesti diperolehi dalam 30 hari.

“Kemudian siapa menjemput dan siapa yang ingin masuk ke sekolah tersebut itu mesti mengemukakan permohonan dan mesti ada perincianlah objektif, program, tujuan program, dan apa impak kepada program tersebut.

“Mereka yang ingin masuk sekolah itu perlulah mematuhi garis panduan SPI4/2023 iaitu garis panduan undangan atau lawatan orang kenamaan dan ahli politik ke institut pendidikan KPM. SPI ini menerangkan tentang garis panduan undangan orang kenamaan dan ahli politik.

“Semua pihak diminta untuk akur dengan garis panduan ini bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga institusi pendidikan. Maka, pihak sekolah wajib memohon kelulusan KPM melalui JPN (Jabatan Pendidikan negeri) untuk semua lawatan orang kenamaan dan ahli politik ke sekolah berdasarkan kepada SPI tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama warga pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Fadhlina turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada IPG berkenaan untuk kerja-kerja penyelengaraan institut itu.

Tambah Fadhlina, permohonan tersebut terpakai kepada semua pihak bukan sahaja kepada pemimpin pembangkang sebaliknya pemimpin-pemimpin parti kerajaan.

“Kita tidak ‘pilih bulu’ tetapi peraturan yang ada itu mesti dipatuhi semua pihak. Jika tidak ada permohonan memang tak boleh masuk jadi adalah tanggungjawab kami untuk menjaga keselamatan kebajikan dan keseluruhan warga sekolah.

“Jadi kalau nak masuk tak ada masalah kalau garis panduan itu dipenuhi. Isunya adalah garis panduan itu dipatuhi itu sahaja. Jadi jika tidak ada permohonan garis panduan itu tidak dipenuhi kami tak boleh buat apa-apalah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya