Tiada keperluan debat projek tambak laut - Kon Yeow - Utusan Malaysia

Tiada keperluan debat projek tambak laut – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri pembukaan Penang Wesak Celebration 2023 di Jalan Burma, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berpendapat tiada keperluan untuk pihaknya berdebat dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau berhubung projek Penang South Island (PSI).

Kon Yeow berkata, projek PSI atau atau dahulunya dikenali sebagai tambakan laut selatan (PSR) telah melalui proses yang panjang antaranya melibatkan pemegang taruh, paparan awam dan sebagainya sebelum berjaya memperoleh kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

”Kita pandang ke depan, kalau beliau (Dominic) tidak ambil bahagian dalam proses sebelum ini saya tidak boleh kata apa-apa kerana proses ini sudah berlalu, mungkin beliau mahu bawa ke mahkamah, itu haknya.

”Tidak ada keperluan (untuk berdebat), semua sibuk mahu pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri pembukaan Penang Wesak Celebration 2023, di sini hari ini.

Semalam, Dominic mencabar Kon Yeow berdebat berhubung isu pembangunan PSI dan Seberang Perai itu dan memberikan Kon Yeow peluang menetapkan tarikh, masa dan lokasi debat.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan projek PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas itu telah memperoleh kelulusan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut Kon Yeow, semua pihak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana proses sebelum kelulusan projek PSI itu diperoleh.

”Apa-apa pertikaian, soalan atau jawapan berhubung projek PSI sudah berlalu, malah JAS dan semua agensi teknikal sudah meletakkan syarat, sekiranya kami tidak dapat mematuhi syarat-syarat itu, maka pelan pengurusan Alam Sekitar (EMP) pun tidak akan diluluskan.

”Kalau boleh diluluskan maksudnya ia (projek PSI) telah melalui satu penelitian yang rapi oleh semua jabatan, barulah JAS boleh keluarkan keputusan dengan semua syarat dipatuhi,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini fokus kerajaan negeri adalah kepada persediaan pelaksanaan projek PSI untuk proses-proses tebus guna laut.

”Minggu akan datang saya akan umumkan apa yang kita cadangkan di dalam PSI khususnya di pulau A, itu adalah fokus kita pada masa ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya