PUTRAJAYA: Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menafikan penduduk Malaysia akan berpeluang menyaksikan kejadian gerhana matahari hibrid pada Khamis minggu depan.
Agensi itu dalam laman sosial rasmi memaklumkan negara ini hanya akan berlaku fenomena gerhana matahari separa sahaja pada hari berkenaan.
“Gerhana hibrid melibatkan anulus dan penuh cuma dapat dilihat di sebahagian barat Australia, Timor-Leste, dan wilayah Papua Barat dan Papua di Indonesia,” jelas Mysa susulan laporan berita tidak tepat mendakwa kononnya Malaysia termasuk dalam laluan gerhana tersebut.
Sebaliknya, Utusan Malaysia dan Kosmo! awal bulan ini melaporkan terjadi gerhana matahari separa sebelum sesi pencerapan anak bulan Syawal lewat petang 20 April kelak.
Kali terakhir kejadian alamiah itu dapat disaksikan di Malaysia ialah pada 21 Jun 2020 ketika umat Islam di negara ini masih lagi meraikan lebaran pada 29 Syawal 1441 Hijri.
Gerhana matahari separa atau penuh ujarnya, merupakan fenomena berulang-ulang yang dapat dihitung tepat menerusi kaedah pengiraan hilal atau anak bulan takwim Hijrah.
Ia juga boleh dicongak dengan mengenal pasti bilakah berlaku proses al-ijtima atau detik bulan berada dalam garisan sejajar matahari dan pasti berulang balik setiap 35 bulan.
Mengulas lanjut, Mysa berkata, fenomena itu kebetulan berlaku 4.1 hari selepas perigee bulan iaitu titik kedudukan terdekat dari bumi dengan jarak kira-kira 367,968 kilometer.
“Laluan gerhana itu selebar 49 kilometer mula di Lautan Hindi ketika terbit matahari dan tamat di Lautan Pasifik semasa terbenam matahari melalui beberapa negara,” katanya.
Malaysia yang termasuk dalam kawasan lintasan gerhana matahari separa pula ujar Mysa, cuma kelihatan lingkungan bayangan penumbra bulan yang lebih luas di rantau ini.
Sementara gerhana anulus akan muncul dalam beberapa saat sahaja di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, manakala tempoh gerhana matahari penuh kira-kira kurang dua minit.
Di Malaysia, bulan akan kelihatan menyentuh matahari pukul 11.04 pagi sebelum menjadi gerhana separa pukul 11.54 pagi apabila 30 peratus wajah matahari dilindungi bulan.
Fenomena berkenaan dijangka berakhir pada pukul 12.44 tengah hari apabila matahari berada di ketinggian 79 darjah dengan nilai al-Sumut dianggarkan 39 darjah 49 minit.
Mereka yang terlepas peluang menyaksikan fenomena indah kebesaran Ilahi itu boleh melihat kejadian ini sekali lagi sekiranya masih panjang umur pada 22 Julai 2028 kelak. – UTUSAN