Selebriti yang Cik Bunga nak kisahkan kali ini bukanlah popular sangat pun. Ini terus-terang Cik Bunga beritahu.
Tetapi kalau sudah namanya selebriti, setiap apa yang dilakukan tentulah jadi perhatian ramai juga bukan?
Alkisah, ada yang sampaikan pada Cik Bunga tentang perangai selebriti bertaraf pempengaruh media sosial ini. Ada yang ternampak dia tanpa segan silu sedang makan tengah hari di sebuah restoran Jepun di ibu negara.
Kelilingnya yang lain adalah pelanggan kedai yang bukan beragama Islam. Tetapi, walaupun bukan Melayu, ada antara pelanggan itu kenal dengan selebriti wanita tersebut.
Jadi, dia rasa peliklah kenapa selebriti itu makan di situ pada waktu tengah hari? Iyalah ini kan bulan Ramadan, semua umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa. Walaupun dia wanita yang mungkin sedang ‘datang bulan’ (Cik Bunga cuba bersangka baik), tetapi tak akanlah setegar itu nak tunjuk pada orang yang diri itu tengah ‘cuti’.
Kata sumber Cik Bunga itu, selebriti berstatus ibu tunggal dan pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini itu juga tampil berani dengan berpakaian seksi di kala bulan Ramadan ini. Konsep baju dah memang macam tak cukup kain langsung, kata sumber Cik Bunga itu tadi.
Wah… betul-betul tak kisahlah ya dengan apa orang nak cakap gamaknya. Aduhai, ‘mind set’ begini bukan tak bagus. Ada bagusnya.
Betul kita tak perlu ambil peduli sangat dengan apa orang nak cakap. Tetapi sensitiflah sikit, hormatilah bulan Ramadan yang mulia ini.
Di kala ramai saja artis dan selebriti lain berlumba-lumba tampil lebih sopan pada bulan Ramadan ini, apa kata buat begitu juga. Lagipun, manis saja kalau Cik Bunga tengok artis kita pakai baju longgar-longgar, berbaju kurung dan berjubah kalau hadir ke acara keramaian. Sejuk mata memandang.
Apa pun, Cik Bunga cuba jugalah husnuzon untuk kali kedua. Barangkali si selebriti yang dimaksudkan itu sedang terlupa bahawa sekarang ini bulan puasa. Tak baik betul kawan sekeliling tak ingatkan dia ya. Nak kena Cik Bunga juga yang tegur begini.
Harap-harap buanglah ya perangai tak manis begitu. Berubah perlahan-lahan.. Insya-Allah, pasti boleh!