Inilah yang Cik Bunga geram kadangkala dengan sikap orang Melayu kita. Kalau hendak berniaga itu, berniagalah dengan jujur dan saling membangunkan ekonomi sesama bangsa.
Bukannya menanam rasa hasad dengki dari awal, siap berazam mahu tumbangkan usaha orang lain. Hal ini Cik Bunga sendiri yang lihat dan perhatikan menerusi pelbagai acara mega yang sedang berlangsung dalam industri keusahawanan dan hiburan kini.
Tak perlulah Cik Bunga sebut program atau acara yang mana. Cukup sekadar kita maklumkan sebagai acara tahunan menjelang hari raya.
Difahamkan, ada antara kelompok artis tempatan yang sengaja menjual cerita temberang tentang program orang lain semata-mata nak naikkan jenama acara dia pula.
Apa yang Cik Bunga dapat tahu, acara yang mereka sedang buat itu pun berdepan dengan pelbagai masalah dalaman. Ada artis yang was-was hendak sertai sebab ada beberapa perkara yang tidak jelas selain tiada jaminan.
Cik Bunga tak salahkan artis yang tarik diri saat akhir sebab mungkin mereka ada sebab tersendiri. Tetapi dari sudut pengurusan penganjur bagi Cik Bunga, ada perkara yang perlu diperbaiki semula terutama dalam meraih kepercayaan golongan artis yang nak sertai acara itu nanti.
Lagipun,untuk acara tahunan sebegini, mengadakannya di minit-minit terakhir adalah satu tindakan kurang bijak. Perancangan patut bermula lebih awal sebab tak semua perkara dapat berlangsung dengan jayanya dan sempurna hanya berlandaskan keajaiban. Tak mungkin.
Jadi bila dah last minute, itu yang sampai tergamak meracun fikiran orang lain dengan cara memburukkan acara pesaing. Konon sebagai satu daripada modus operandi. Walhal, awak pun ambil kesempatan dengan menumpang populariti menggunakan jenama acara lain.
Aduhai…janganlah sampai berniat menjatuhkan usaha orang lain kalau pun nak buat program lebih kurang sama. Kata mahu bantu rakan-rakan artis berniaga dan naikkan taraf ekonomi. Jadi mengapa begitu saudara?