KETIGA-tiga kami gementar hari itu, saya fikir. Temu bual yang dirancang agak aneh dan jemputan pun agak mendadak.
Saya mahu bersembang hal Hari Raya Aidilfitri dengan penyanyi bukan Melayu. Kalau diminta menjelaskan sebab-musabab saya mahu buat temu bual ini, saya tak mampu. Ideanya datang spontan dan sekali lagi, mendadak.
Yang pasti, saya mahu teruskan tradisi menjadikan hal luar muzik sebagai topik utama artikel Rondivu menjelang hari raya. Sebelum ini saya pernah tampilkan Pasca Sini, Senja dan Projek Bodo-Bodo. Kali ini saya bawakan Bihzhu dan Brendan de Cruz.
Perbualan kami menjalar dari perkembangan terbaharu karier masing-masing, pengalaman berhari raya, jurang lapangan dalam industri muzik sehingga ke perpaduan kaum di Malaysia secara keseluruhannya. Kafe 123 Gasing jadi saksi sembang hangat kami yang bergerak tanpa format.
Bukan tugas Bihzhu dan Brendan untuk mengupas isu kaum di Malaysia. Tapi mereka ada pandangan dan pandangan mereka wajar direnung.
Cerminan
Bihzhu melihat situasi industri muzik ada kaitannya dengan keadaan Malaysia sebagai sebuah negara.
“Lapangan (yang pelbagai) ini tidak terhubung kerana kita tak kenal satu sama lain. Itu saja sebabnya. Semangat independen dalam lapangan Melayu, Cina atau India itu sama saja.
“Sedih tapi perlu diakui, ada jurang antara lapangan-lapangan ini. Ini cerminan untuk negara kita,” katanya yang mula meneroka pasaran Melayu melalui penglibatan dalam Anugerah Lagu Indie (ALI).
Begitu juga dengan Brendan. Penyertaannya dalam ALI 2021 membuka peluang untuk dia meneroka pasaran yang didominasi pendengar dan penggiat Melayu.
Namun, bagi Brendan, dia bersyukur dengan sambutan yang diberikan, terutamanya melalui ALI. Dia juga berpeluang mempersembahkan bakatnya kepada lebih ramai pendengar Melayu selepas itu.
“Tahun 2018 saya ada buat lagu Melayu. Lagu itu ada sambutan sedikit, dapat masuk senarai putar Spotify. Itu kali pertama saya rasa dapat masuk dalam pasaran Melayu.
“Tapi apabila saya hantar lagu itu ke radio, tak berjaya. Mungkin waktu itu saya wakili diri sendiri, jadi tak nampak profesional sangat,” katanya.
Berjaya tembusi pasaran Melayu satu hal namun ia tidak menjamin mereka akan kekal dalam pasaran tersebut. Seperti yang dialami Bihzhu, walaupun layak ke peringkat akhir ALI selama dua tahun berturut-turut, jemputan persembahan masih kurang.
“Sangat kurang jemputan yang saya terima. Saya tak pasti sama ada mereka fikir tak ada permintaan atau mereka memang tak pernah terfikir nak jemput kami,” jelasnya.
Terbungkam
Ini antara hal yang jarang dibincangkan secara meluas. Mungkin kerana masing-masing sudah cukup selesa dengan lapangan masing-masing atau ia terlalu sensitif dan rumit, maka bungkam ialah pilihan terbaik.
Saya sendiri tiada jawapan. Subjektiviti muzik menyukarkan perbincangan. Kita tidak boleh paksa pendengar meminati mana-mana muzik dengan alasan perpaduan. Kita juga tidak boleh memaksa pemuzik bermain muzik tertentu semata-mata untuk diterima pendengar dari lapangan yang berbeza.
“Ketika saya hadir ke Gig 100 Rondivu, selain saya dan beberapa kawan lain, tidak ada pendengar bukan Melayu yang hadir. Saya fikir, kenapa persilangan ini tidak berlaku?” soal Bihzhu.
Ia menjemput cadangan dari Brendan: “Kita kena buat satu festival yang gabungkan semua (lapangan).”
Menyatukan lapangan yang terpisah-pisah adalah antara tujuannya. Namun, yang lebih penting, kita mahu tonjolkan bakat sebenar pemuzik Malaysia yang sering terselindung di sebalik tiang-tiang pemisah bangsa dan bahasa.
Melalui sedikit penerokaan pada hujung tahun lalu, saya sudah dapat menemui beberapa artis yang sangat hebat dari lapangan yang kurang didominasi pendengar Melayu. Ini melalui penerokaan sendiri, bayangkan kalau ia dipangkin oleh media dan penganjur.
Raya
Sejak dahulu, perayaan dijadikan alat untuk kita memupuk perpaduan. Sebab itu Malaysia banyak cuti. Pelbagai perayaan disambut segenap bangsa untuk memupuk kefahaman dan toleransi.
Namun, berjayakah kita? Kita bungkamkan lagi persoalan itu.
Tapi sekurang-kurangnya, saya berjaya guna alasan Aidilfitri untuk meneroka pandangan Bihzhu dan Brendan tentang banyak hal, terutamanya tentang jurang yang ada dalam lapangan muzik kita.
Aidilfitri adalah tentang kembali kepada fitrah. Kewujudan pelbagai kaum adalah fitrah negara Malaysia. Kita lahir, merdeka dan membangun melalui penglibatan semua kaum.
Kita rayakan kepelbagaian bangsa, bahasa dan agama di negara ini dengan toleransi. Dalami semula pasak-pasak yang menegakkan Malaysia sebagai negara yang merdeka. Cari dan ketuk pasak itu biar ketat hubungan kita sesama bangsa.
Salam Aidilfitri dari Rondivu!