PETALING JAYA: Tarikh akhir untuk mengemukakan borang nyata tahun taksiran 2022 bagi pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan ialah 30 April secara manual manakala e-Filing pada 15 Mei ini.
Ia meliputi tujuh kategori pembayar cukai iaitu individu pemastautin, individu pemastautin (pekerja berpengetahuan/berkepakaran), individu bukan pemastautin, individu bukan pemastautin (pekerja berpengetahuan), pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu Hindu.
“Pembayar cukai adalah disarankan mengemukakan borang dan membayar baki cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti dan kenaikan cukai dikenakan.
“Pembayar cukai juga dinasihatkan untuk mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai,” kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan.
Sebagai panduan berkenaan pengemukaan borang, pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail borang nyata bagi 2023 yang boleh diakses dan dimuat turun di laman sesawang LHDN. – UTUSAN