PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) menafikan pihaknya ‘pilih kasih’ berhubung isu tawaran tapak jualan mercun dan bunga api seperti dilaporkan media sebelum ini.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporatnya, Norzita Abdul Razak berkata, penentuan lokasi dan jumlah tapak niaga adalah berdasarkan nasihat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya terlebih dahulu.
Beliau berkata, setiap peniaga perlu mendapatkan kelulusan tapak daripada PPj terlebih dahulu sebelum dibawa ke IPD Putrajaya.
“Setiap permohonan yang diterima perlu melalui proses yang ditetapkan dan perlu mendapatkan kelulusan permit IPD sebelum diberikan lesen.
“Begitu juga dengan permohonan yang diterima daripada kakitangan PPj sendiri di mana ia adalah mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum memulakan perniagaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, prosedur yang sama turut digunakan oleh pihak berkuasa Tempatan (PBT) yang lain bagi membantu mengawal bilangan dan kelulusan yang dikeluarkan.
Jelasnya lagi, PPj turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada IPD Putrajaya di atas kerjasama rapat dan sokongan dalam semua program anjuran PPj khususnya bagi acara Festival Ramadan Putrajaya tahun ini.
Norzita berkata, PPj membenarkan tujuh lokasi baharu yang bersesuaian di sekitar Putrajaya bagi aktiviti penjualan mercun dan bunga api.
Sebelum ini, beberapa peniaga bunga api dan mercun di sini mendakwa ‘dianaktirikan’ selepas tidak dibenarkan berniaga di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini.
Mereka mendakwa PPj hanya meluluskan tiga tapak niaga mercun dan bunga api di sekitar Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023) tahun ini di mana antara satu tapaknya diberikan kepada kakitangan PPj sendiri.
Peniaga berkenaan mendakwa, PPj hanya membenarkan tiga tapak jualan sahaja di sekitar Festival Ramadan Putrajaya 2023 di Presint 3 di sini berbanding enam tapak tahun lalu. – UTUSAN